Agenda pembangunan di Semenyih akan diteruskan walaupun Pakatan Harapan (PH) gagal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata agenda pembangunan di Semenyih telah dirancang awal dan ia termasuk dalam kerangka belanjawan negeri.

"Cuma mungkin perlukan masa untuk susun semula dan laksanakannya berdasarkan jadual.

"Itu semua adalah dalam kerangka belanjawan negeri dan bukanlah kerana PRK. Kami bukanlah hendak 'hukum' Semenyih...," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Malaysia Woman Marathon 2019 (MWM2019) di Padang Timur, di sini hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Mengulas kegagalan calon PH pada pilihan raya kecil Semenyih semalam, Amirudin berkata PH perlu menyemak semula beberapa dasar dan keputusan demi memastikan kelestarian PH sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.

"PRK DUN Semenyih adalah satu pertarungan yang agak sengit dan mendebarkan. Saya tidak nafikan kami perlu semak kembali dan teliti semula beberapa polisi dan keputusan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Pada pilihah raya kecil DUN itu semalam, Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula kerusi DUN Semenyih apabila calonnya, Zakaria Hanafi memenangi pertandingan empat penjuru itu dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria, 58, meraih 19,780 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

-- BERNAMA