JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke sesi fotografi bersama kepimpinan tertinggi UMNO sempena ulang tahun ke-80 penubuhan parti itu, hari ini.
Turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan ialah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Menerusi kenyataan di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kedua-dua baginda dilihat diiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Ghani.
Turut kelihatan menghadiri sesi berkenaan ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurut kenyataan sama, sesi fotografi itu diadakan bagi mengenang sejarah penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor, semasa pemerintahan Allahyarham Sultan Sir Ibrahim, hasil Kongres Melayu Ketiga yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar.
Penubuhan UMNO menjadi antara lembaran penting dalam perjuangan nasionalisme negara sehingga mencetuskan pergerakan menentang Malayan Union, yang seterusnya membawa kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.