Agihan fidyah jamin kebajikan rakyat di Kedah - Raja Muda Kedah

Tengku Sarafuddin Badlishah berkenan hadir pada Majlis Pengurniaan Agihan Fidyah Majlis Agama Islam Kedah Tahun 2026 di Puteri Palmera Langgar, Alor Setar pada Khamis. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah bahawa pengagihan fidyah yang dilaksanakan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) berperanan dalam menjamin kebajikan golongan fakir dan miskin di negeri itu.
Menurut baginda, agihan yang diberikan kepada golongan berkenaan sama ada dalam bentuk tunai atau keperluan asas turut berupaya memastikan kesejahteraan hidup mereka terus dipelihara.
"Kita kena sentiasa jaga kebajikan mereka, dan ini juga untuk menyemai semangat empati dan rasa tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
"Kutipan pada tahun ini (1447 Hijrah) adalah sebanyak RM4.2 juta, dan sehingga hari ini Majlis Agama Islam (Kedah) telah mengagihkan sebanyak RM3.7 juta dan bantuan yang diberikan adalah bantuan tunai iaitu lebih 8,000 orang penerima sebanyak RM300 seorang.
"Ada juga tajaan makanan pelajar kepada Sekolah Agama Rakyat, dan program bantuan mahasiswa kepada universiti seperti UUM, UniSHAMS dan UiTM Merbok," titah baginda.
Tengku Sarafuddin Badlishah bertitah demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pengurniaan Agihan Fidyah Majlis Agama Islam Kedah Tahun 2026 di Puteri Palmera Langgar, Alor Setar pada Khamis.

Dalam majlis berkenaan, agihan berjumlah RM128,000 telah disampaikan kepada 320 orang penerima. - Foto Astro AWANI
Dalam perkembangan sama, Raja Muda Kedah turut memaklumkan bahawa pihak MAIK turut memperluaskan agihan fidyah kepada pelajar di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra dan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim.
Ia adalah salah satu usaha untuk memastikan lebih ramai kumpulan pelajar yang memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan.
Dalam majlis berkenaan, agihan berjumlah RM128,000 telah disampaikan kepada 320 orang penerima sebagai tanda komitmen berterusan MAIK dalam membantu golongan memerlukan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


