KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2023 kepada 11 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT), di Istana Negara di sini, hari ini.

Enam penerima biasiswa ialah bagi pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) manakala lima di peringkat sarjana (penyelidikan).

Lima penerima akan melanjutkan pengajian di luar negara manakala enam lagi telah dan akan melanjutkan pengajian di universiti penyelidikan dalam negara tahun ini.

Penuntut menerima biasiswa di peringkat PhD ialah Wan Nur Hanisah Wan Noor Azam Shah, 31, yang akan melanjutkan pengajian dalam Pembelajaran Mesin di Universiti College London (UCL) dan Muhammad Nasri Nasehir Khan, 24, bagi Sains Alam Sekitar di Universiti Sains Malaysia.

Diikuti Izzati Izyani Japar, 25, (Matematik dan Statistik, UCL); Chia Yuh Cai, 28, (Genetic & Heredity, Universiti Kebangsaan Malaysia); Siti Saffa' Shaharuddin, 28, (Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa) dan Wong Whui Dong, 25, (Nanoteknologi, Universiti Malaya)

Bagi penerima BYDPA di peringkat Sarjana pula ialah A. Thenesh, 25, (Undang-undang Antarabangsa, Harvard University); Nurul Juliana Syafinaz Abu Sopian, 25, (Imunolgi Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM); Nurul Najwa Asip, 25, (Teknologi Makanan, UPM); Faten Hanani Muhamad Hakimi, 26, (Sains Bumi, UCL) dan V. Yashvinnie, 24, (Imunologi, King's College).

BYDPA merupakan biasiswa berprestij negara yang diperkenalkan pada 2006 dan sehingga kini 18 sesi penawaran dilaksanakan merangkumi 198 penerima yang diberi penajaan untuk pengajian dalam bidang Ekonomi, Undang-undang, Sains dan Teknologi serta Kewangan Islam.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam Jamalulail Abu Bakar.

Sementara itu, Thenesh anak kelahiran Muar, Johor, ketika ditemui Bernama berkata beliau menjunjung kasih atas penganugerahan biasiswa terulung itu dan menjadikan ia satu motivasi untuk kembali menyumbang kepada negara selepas tamat pengajian.

Wan Nur Hanisah yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang pula menyifatkan penganugerahan biasiswa itu membantu meringankan beban kewangannya untuk meneruskan pengajian peringkat PhD di luar negara yang sememangnya memerlukan kos tinggi.

"Ini merupakan satu amanah yang besar untuk kami semua penerima biasiswa dan saya berazam pada masa akan datang akan membantu usaha untuk kolaborasi antara UCL dengan pihak industri," katanya.

-- BERNAMA