SUBANG JAYA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Falah, USJ 9, di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah berangkat tiba di masjid itu dengan memandu sendiri kenderaan pada 1 tengah hari.

Khutbah Jumaat bertajuk 'Dadah Dijauhi, Keluarga Dirahmati, Negara Harmoni' disampaikan bekas Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif Petronas Dagangan Bhd Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir yang merupakan nazir masjid itu.

Syed Zainal Abidin dalam khutbahnya berkata penyalahgunaan dadah merupakan isu yang serius dalam negara kerana impaknya bukan sahaja kepada individu terlibat malah mampu memusnahkan sesebuah keluarga, mengganggu keharmonian masyarakat dan melumpuhkan negara.

Oleh itu, khutbah tersebut menyeru semua pihak termasuk pemimpin masyarakat dan ibu bapa untuk berganding bahu memerangi dadah hingga ke akar umbi, terutamanya dengan membendung anak-anak muda daripada terlibat gejala itu.

Al-Sultan Abdullah bersama kira-kira 3,000 jemaah kemudian menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Imam I Masjid Al-Falah Muhammad Zuwairi Mohd Yusof.

Seri Paduka berkenan meluangkan masa bersalaman dengan jemaah selain mengurniakan sumbangan kepada murid Sekolah KAFA Intergrasi Masjid Al-Falah.

-- BERNAMA