KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, di Istana Negara.

Antara intipati perbincangan selama 20 minit itu ialah hubungan dua hala serta mengenai pencerobohan dan serangan tentera Israel yang mensasarkan Masjid Al-Aqsa dan Palestin.

Perbualan tersebut juga menyentuh berkenaan hubungan dua hala yang erat terjalin di antara Malaysia dan Turki termasuk usaha-usaha pengukuhan perdagangan di antara kedua-dua negara.

Menekankan kepentingan bersatu dalam menghadapi penindasan yang sedang dialami rakyat Palestin akibat serangan Israel ke Masjid Al-Aqsa, Erdogan menyatakan keyakinannya bahawa Türki dan Malaysia akan bertindak dan bekerjasama erat menerusi semua platform yang relevan, terutama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Kita perlu bersatu hati dalam bersuara menentang kekejaman Israel terhadap Palestin.

"Saya yakin Turki dan Malaysia akan sentiasa bekerjasama rapat, terutama menerusi PBB dan OIC," kata Erdogan menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, Istana Negara menerusi laman Facebook memaklumkan, Seri Paduka Baginda menzahirkan ketetapan yang diambil kerajaan untuk berdiri bersama Turki dan komuniti antarabangsa mengecam pencerobahan dan serangan Israel ke atas rakyat Palestin.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kerajaan Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan untuk persidangan tergempar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) diadakan bagi membincang isu keganasan Israel terhadap Palestin.