Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Sultan Badlishah menzahirkan harapan kepada seluruh institusi agama Islam supaya sentiasa berada di landasan yang kukuh, mantap dan berkesan.

Baginda bagaimanapun, menzahirkan rasa dukacita atas sikap pihak-pihak tertentu yang cuba memperkecilkan dan memberi gambaran negatif terhadap kewujudan agensi-agensi Islam pada masa ini.

Baginda pada masa sama tidak menafikan terdapat segelintir umat Islam yang terpengaruh dengan aliran melampau atau ekstrim.

"Dalam masa yang sama, permuafakatan antara ulama dan umarak hendaklah terus diperteguhkan demi untuk memastikan ketinggian agama Islam dan kesejahteraan ummahnya sentiasa terpelihara.

"Perlu difahami bahawa kewujudan agensi-agensi ini sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri adalah bagi melaksanakan fungsi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam sekaligus membantu agensi-agensi agama di peringkat Persekutuan dan Negeri untuk mengurus tadbir hal ehwal Islam," titah baginda.

Namun, baginda mengakui majoriti rakyat Malaysia masih berpegang dengan manhaj wasatiyyah sebagaimana yang didokong oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Seri Paduka bertitah demikian semasa merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1437H/2015M di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Turut berangkat ke majlis bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, menteri-menteri kabinet serta perwakilan negara asing.

Dalam pada itu, baginda juga berpandangan bahawa pendekatan wasatiyyah telah berjaya diterap dan diterima dengan baik oleh rakyat Malaysia.

Seri Paduka turut menegaskan mengenai kepentingan memelihara hubungan baik antara satu sama lain, bertoleransi serta saling menghormati agar perpaduan yang sedia ada dapat dikekalkan.

Titah baginda, kejayaan Nabi Muhammad SAW menyatupadukan umat Islam untuk hidup aman damai bersama-sama orang bukan Islam sehingga membentuk masyarakat baharu yang diikat dengan Piagam Madinah, harus menjadi teladan kepada semua.

Pada majlis itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh diumumkan sebagai Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 2015 yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Wan Zahidi menerima wang tunai RM50,000, sijil serta hadiah iringan.

Selain itu, lapan lagi individu turut menerima Anugerah Maulidur Rasul dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000, plak, sijil, dan hadiah iringan.

Terdahulu, sambutan Maulidur Rasul bermula dengan perarakan 125 kontinjen membabitkan 11,400 peserta terdiri daripada wakil pelbagai agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah.

Perarakan turut diserikan dengan penyertaan 200 buah motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi 300 KM/J.

Peserta berarak sambil berselawat sejauh 1.8 kilometer bermula dari pintu masuk hadapan MAEPS sehingga ke Dewan A.