KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan agar Kuantan akan menjadi sebuah bandar raya yang unggul dan melakar sejarah tersendiri.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah demikian selepas berkenan mengisytiharkan ibu negeri Pahang itu sebagai bandar raya hari ini.

Selain itu, baginda mahu melihat Kuantan yang mula wujud pada pertengahan kurun ke-19 menerusi sistem penubuhan Kuantan Sanitary Board pada 1 Ogos 1913 terus mencipta lebih banyak kejayaan.

"Namun, penubuhan sebuah bandar raya bukanlah semata-mata pada nama. Justeru, dalam meniti hari-hari mendatang, kerajaan negeri beta dan Majlis Bandaraya Kuantan hendaklah sentiasa menumpukan usaha ke arah peningkatan kesejahteraan dan perkhidmatan yang mengutamakan rakyat.

"Marilah kita berdoa pada hari yang bersejarah ini semoga bandar raya Kuantan menjadi menjadi sebuah bandar raya unggul dan sentiasa berada dalam perlindungan Allah S.W.T," titah baginda dalam Majlis Pemasyhuran Kuantan sebagai bandar raya di Kompleks Bandaraya Kuantan, pada Ahad.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Sri Dr Sallehuddin Ishak dan barisan EXCO Pahang.

Upacara istiadat pengisytiharan bermula dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin menyerahkan Surat Cara Pemasyhuran Kuantan sebagai bandar raya kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Rosdy Wan Ismail sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan melantik Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Datuk Hamdan Hussin sebagai Datuk Bandar pertama Kuantan.

Baginda kemudian berkenan menandatangani plak pemasyhuran Majlis Bandaraya Kuantan dan plak perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan.