KUALA LUMPUR: Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mantan Ketua Setiausaha Negara Ke-13, Tan Sri Ali hamsa, yang kembali ke Rahmatullah hari ini.

Dalam satu kenyataan hari di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham ,dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

Kenyataan itu menyebut, Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT, dan ditempatkan bersama para solihin.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada perkhidmatan awam dan negara.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat perkhidmatan awam dan negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Awal hari ini, media melaporkan bekas KSN itu meninggal dunia hari ini pada usia 66 tahun di Hospital Dublin, Ireland.
Berita itu disahkan KSN Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Beliau mewakili seluruh warga perkhidmatan awam Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Mewakili seluruh warga Perkhidmatan Awam Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga YBhg Tan Sri Dr Ali Hamsa yang telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadan 1443H di Hospital Dublin, Ireland.

"YBhg Tan Sri Dr Ali Hamsa merupakan tokoh besar dalam Perkhidmatan Awam Negara. Beliau merupakan anak jati Johor serta dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-13, menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1981.

"Menelusuri sejarah gemilang perkhidmatannya, beliau telah menabur bakti di pelbagai Kementerian dan Jabatan antaranya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi, INTAN, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri,” katanya lagi.