SEREMBAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan menahan 66 pendatang asing menerusi operasi penguatkuasaan di 17 lokasi termasuk sebuah restoran terkemuka di Seremban 2 bermula pagi semalam sehingga awal pagi tadi.
Pengarah JIM Negeri Sembilan Kennith Tan Ai Kiang berkata kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 55 tahun membabitkan 61 lelaki dan lima wanita terdiri daripada warga Indonesia, Nepal, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Myanmar dan India.
Advertisement
“Operasi ini dilaksanakan hasil aduan dan maklumat orang awam serta risikan yang dijalankan selama seminggu di sekitar kawasan berkenaan.
“Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta kesalahan lain di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA