LANGKAWI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan berkenan berangkat melawat Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA '23).

Ketibaan Seri Paduka dan Putera Mahkota Abu Dhabi kira-kira 12 tengah hari, disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebaik tiba di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Al-Sultan Abdullah dan Sheikh Khaled berkenan melawat Gading Marine Fast Inspector Craft G200 MKII dan reruai syarikat aeroangkasa tempatan, Gading Group sambil mendengar penerangan berhubung operasi syarikat berkenaan.


Al-Sultan Abdullah dan Sheikh Khaled turut melawat beberapa lagi reruai syarikat seperti Sapura Secured Technologies, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dan syarikat persenjataan tentera dan teknologi berkaitan dari UAE, The Edge Group.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya bersama-sama Sheikh Khaled yang juga Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi, menyaksikan persembahan pertunjukan udara pelbagai negara, termasuk pasukan aerobatik daripada UAE, Al-Fursan.

Al-Fursan bermaksud 'The Knights', yang terbang dalam formasi tujuh pesawat jurulatih jet Aermacchi MB339A, ditubuhkan pada awal 2010 dan penampilan umum pertama pasukan adalah pada 20 Jan 2010.

Sheikh Khaled, yang dalam lawatan khas empat hari ke Malaysia sejak 21 Mei, turut menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

UAE merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan destinasi import kedua terbesar dari rantau Asia Barat.

Lawatan khas Sheikh Khaled dijangka mengukuhkan lagi hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dan UAE yang dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada 27 Sept 2022.

Acara dwitahunan LIMA kali ini yang bertemakan "Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia" disertai lebih 525 peserta pameran, termasuk 140 syarikat daripada industri pertahanan, 101 syarikat sektor komersial dan 284 syarikat yang terlibat dalam kedua-dua sektor.

-- BERNAMA