KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini.

Keberangkatan baginda ke pekarangan Kompleks Bandaraya Kuantan pada 8.35 malam diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kepimpinan kerajaan negeri, Datuk Bandar Kuantan Datuk Hamdan Hussin dan ketua-ketua jabatan.

Pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 tetamu itu, Seri Paduka berdua turut berkenan mengurniakan duit raya kepada anak warga kerja MBK.

Sebelum berangkat pulang, Al-Sultan Abdullah turut meluangkan masa menyantuni warga kerja MBK dan melawat gerai yang menyediakan pelbagai juadah makanan.

-- BERNAMA