SINGAPURA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat muzium dan kebun berkonsepkan pertanian bandar di republik ini hari ini.

Lawatan itu antara atur cara sempena lawatan negara Seri Paduka berdua ke Singapura selama empat hari bermula hari ini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan memulakan lawatan di Asian Civilisations Museum (ACM), Empress Place, di sini yang turut disertai anakanda Seri Paduka, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

Turut mengiringi Seri Paduka berdua ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak.

Sejurus berangkat tiba kira-kira 2 petang, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri berkenan menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan sesi lawatan di muzium itu dengan turut diiringi Pengerusi ACM Mark Lee.

Seri Paduka berdua kemudian berkenan melawat beberapa galeri antaranya Ancient Religions, pameran bertajuk Jewellery di bahagian Fashion and Textile serta Ancestor and Rituals bagi segmen Islamic Arts.

ACM merupakan muzium negara purba Asia serta seni hiasan Singapura dengan satu-satunya muzium di Asia bercirikan skop pan-Asia, selain turut memberi tumpuan mengenai sejarah dalam aspek budaya dan tamadun termasuk perdagangan antara Asia dan seluruh dunia.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian berangkat melawat Edible Garden City (EGC) iaitu kebun berkonsepkan pertanian bandar yang terletak berdekatan Queenstown, di sini pada kira-kira 3 petang.

Semasa di EGC, Seri Paduka berdua berkenan melawat beberapa kebun antaranya Sensory Garden dan Rock Garden dengan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif EGC Samuell Ang.

EGC merupakan perusahaan sosial yang mengutamakan 'grow-your-own-food' atau tanam sendiri makanan anda bagi meningkatkan sumber pertanian serta makanan di Singapura.

-- BERNAMA