PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan edisi ke-30 Persidangan Wanita Desa Sedunia (ACWW) 2023, di sini.

Sebagai simbolik upacara pelancaran, Al-Sultan Abdullah memukul gong tradisional sebanyak lima kali.

Turut hadir, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam titah baginda, Tunku Azizah yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Negeri Pahang berkongsi perjalanan baginda yang terlibat secara aktif bersama ACWW pada 2004.

Tunku Azizah bertitah, baginda telah menghadiri Persidangan Dunia Ke-24 di Tasmania pada 2004, Finland pada 2007, Amerika Syarikat pada 2010, Chennai, India pada 2013, Warwick, United Kingdom pada 2016 dan Melbourne, Australia pada 2019.

"ACWW juga telah membawa saya ke seminar di UNESCO Paris dan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Status Wanita yang diadakan setiap tahun di New York," titah baginda.

Tunku Azizah bertitah pada persidangan 2019 di Melbourne, baginda telah dicalonkan untuk jawatan Presiden sedunia tetapi telah menarik diri kerana baginda dimasyhurkan sebagai Raja Permaisuri Agong.

"Saya berterima kasih kepada Country Women Association of New South Wales of Australia kerana mencalonkan saya bertanding jawatan Presiden sedunia pada Persidangan Sedunia Tiga Tahun Sekali di Melbourne pada masa itu," titah Tunku Azizah.

Sambil mengalu-alukan kedatangan para peserta ke negara ini, Raja Permaisuri berharap para peserta dapat mengikut persidangan dan aktiviti luar dengan gembira termasuk lawatan ke Kompleks Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di Gombak, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong, Institut Kraf Negara di Rawang dan Universiti Multimedia di Cyberjaya.

"Saya harap anda menikmati penginapan di negara saya Malaysia yang indah ini. Kami cuba menggabung dan mempamerkan kepelbagaian budaya, masakan, kraf tangan, tempat menarik untuk lawatan sehari dan program untuk pasangan bagi membolehkan anda semua melawat Malaysia," titah baginda.

ACWW diasaskan pada 1929 untuk mengumpulkan wanita luar bandar dan organisasi mereka di seluruh dunia. Ia bertujuan untuk menangani cabaran yang mereka hadapi susulan pengasingan komuniti mereka, diskriminasi terhadap wanita, dan kekurangan penglibatan mereka dalam proses politik.

Keahlian ACWW merangkumi 82 negara dan sejak 1947, persatuan itu telah meluluskan lebih 180 resolusi dasar melalui undian popular.

Persidangan tahun ini yang berlangsung dari 17 hingga 25 Mei. mengumpulkan kira-kira 500 ahli ACWW dari seluruh dunia.

-- BERNAMA