KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Ketua Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes atas kejayaan dinobatkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik Asia Pasifik pada majlis Anugerah Aviation 100 Asia Pasifik 2023 oleh Airline Economics di Singapura, baru-baru ini.

Turut menzahirkan ucapan tahniah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut laman Instagram Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga serta menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan kepada Tony Fernandes sebagai antara individu dan rakyat Malaysia berprestasi tinggi dalam industri penerbangan di rantau Asia Pasifik, sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Titah Seri Paduka Baginda, pengiktirafan itu juga sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Tan Sri Tony Fernandes dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan," menurut hantaran itu.

Tinjauan pendapat "Aviation 100" ialah proses yang komprehensif dan menyeluruh sepanjang tahun yang terdiri daripada undian khusus serantau dan terkenal dengan kredibilitinya dalam mengenal pasti tokoh paling luar biasa dalam kewangan, pajakan dan undang-undang, bersama-sama dengan eksekutif tertinggi daripada syarikat penerbangan terkemuka.

Majlis anugerah itu diadakan di luar persidangan "Airline Economics Growth Frontiers Asia Pacific" yang dihadiri kira-kira 700 profesional penerbangan.

Diundi oleh pakar industri, termasuk syarikat penerbangan, pemberi pajak, bank, firma guaman dan pihak berkepentingan utama yang lain, tinjauan industri tahunan oleh Airline Economics itu mengiktiraf dan meraikan pemimpin industri yang paling cemerlang.

Sementara itu, dalam hantaran berbeza, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan tahniah dan ucap selamat kepada Mejar (B) Abdul Manan Abas sempena sambutan ulang tahun hari kelahiran beliau yang ke-100, pada 1 November lepas.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan rasa sukacita Abdul Manan dikurniakan kesihatan yang baik dan umur yang panjang untuk meraikan hari amat istimewa bersama keluarga tersayang.

Abdul Manan merupakan rakyat Malaysia pertama diterima menjadi pelatih Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), London, United Kingdom pada 1950, tiga tahun selepas beliau menyertai Tentera Darat, untuk mengikuti kursus Pegawai Kadet sebelum ditauliahkan sebagai pegawai seterusnya berkhidmat dalam Tentera Darat sehingga berpangkat Mejar.

Seri Paduka Baginda yang juga turut menjalani latihan ketenteraan di RMAS dari 1978 hingga 1979 mendoakan agar Abdul Manan dikurniakan keafiatan dan kesejahteraan berpanjangan serta sentiasa di bawah lindungan dan rahmat Allah.

Pada Ogos 1954, anak kelahiran Selangor itu dianugerahkan "British Armed Forces' Military Cross" atas keberanian beliau ketika mengetuai platun peninjau untuk menghapuskan cawangan Parti Komunis Malaya di Raub, Pahang.

Anugerah itu telah disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaya ketika itu, Sir Donald MacGillivray bagi pihak Baginda Ratu England Ratu Elizabeth II kepada Abdul Manan.

Abdul Manan bersara pada 31 Oktober 1969 setelah 23 tahun berkhidmat. - BERNAMA