KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyempurnakan perasmian Menara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Lorong Haji Husein 2 di sini.

Turut mengiringi baginda, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Na'im Mokhtar, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi MAIWP Tan Sri Mohd Daud Bakar, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya dan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) PPZ-MAIWP Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata bangunan baharu yang dibina bersebelahan Bangunan Daruzzakah iaitu lokasi agensi itu beroperasi dari 1993 hingga 2000, bertujuan memudahkan dan memberi keselesaan kepada golongan asnaf untuk berurusan dengan MAIWP.

"Pada tahun 2011, Pengurusan MAIWP melahirkan hasrat, telah sampai masa untuk MAIWP memiliki dan menduduki Ibu Pejabat MAIWP sendiri. Justeru MAIWP telah memutuskan untuk membeli tanah kosong yang terletak di sebelah Bangunan Daruzzakah milik MAIWP sebagai lokasi yang sesuai.

"Lokasi ini mudah diakses melalui kemudahan pengangkutan awam seperti bas, monorel dan terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur," katanya dalam sembah ucapan alu-aluan Majlis Perasmian Menara MAIWP di sini hari ini.

Beliau berkata bangunan itu yang telah dibina di atas tanah seluas 24 ribu kaki persegi (setengah ekar) dan setinggi 24 tingkat, melibatkan perbelanjaan RM264 juta meliputi kos pembinaan sebanyak RM252 juta dan kos perolehan tanah RM12 juta.

"Adalah menjadi harapan agar Bangunan Menara MAIWP yang tersergam indah di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur ini menjadi antara mercu tanda institusi Islam yang berjaya mengangkat syiar Islam," katanya.

Mohd Na'im berkata beliau bersama-sama warga MAIWP akan terus berusaha bagi meneruskan kecemerlangan agensi itu berhubung pengurusan kutipan dan agihan zakat di Wilayah Persekutuan yang sentiasa menjadi sumber rujukan dan contoh kepada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri di seluruh Malaysia.

"Kecekapan dan kecemerlangan pengurusan MAIWP diiktiraf dan dikecapi saban tahun telah terbukti dengan penganugerahan Sijil Bersih Audit Negara Tanpa Teguran untuk kali ke-16 berturut-turut," katanya.

Pada majlis sama, Seri Paduka berdua turut berkenan menyaksikan model Menara MAIWP sambil diberikan penerangan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian meneruskan lawatan ke dalam bangunan berkenaan serta turut menyantuni para pekedai di situ, sebelum berangkat pulang pada kira-kira 1.12 tengah hari.

-- BERNAMA