KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-64 kepada seluruh warga TUDM, veteran TUDM serta semua yang pernah berkhidmat bersama TUDM.

Ucapan Seri Paduka dikongsi Istana Negara menerusi catatan dalam akaun media sosial rasminya hari ini.




Menurut Istana Negara jasa khidmat dan bakti TUDM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan ruang angkasa negara amat dihargai dan disanjungi.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar TUDM terus mengorak langkah sebagai satu ketumbukan udara yang moden dalam mempertahankan kedaulatan ruang angkasa negara serta menjadi sebuah angkatan udara disegani dan dihormati di persada antarabangsa.

Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara, menurut hantaran itu. - BERNAMA