KUALA LUMPUR: Di belakang setiap lelaki yang hebat, pasti ada wanita tabah di sisinya.

Mungkin inilah kata-kata paling tepat menggambarkan betapa utuhnya kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tempoh 38 tahun membina mahligai cinta bersama, termasuk ketika lima tahun bersemayam di Istana Negara, menyaksikan Al-Sultan Abdullah secara terbuka mengakui bahawa Tunku Azizah banyak memberi semangat dan kekuatan, terutama pada awal Seri Paduka menaiki takhta sebagai ketua utama negara pada 2019.

Dalam wawancara bersama editor dan wartawan kanan media utama di Istana Negara baru-baru ini, Al-Sultan Abdullah yang segak mengenakan sut hitam, menzahirkan rasa kasih dan penghargaan begitu tinggi kepada Tunku Azizah, insan yang teguh berdiri di sisinya mengharungi pelbagai kisah suka duka.

Yang di-Pertuan Agong melihat peranan Raja Permaisuri begitu menyerlah menyantuni rakyat jelata, kaum wanita dan golongan banduan menerusi pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan.

“Sudah tentu, bagi saya Azizah telah memainkan peranan luar biasa sebagai seorang Permaisuri dan isteri saya. Saya perlu bersetuju dengan anda bahawa Azizah banyak memberi semangat kepada saya untuk meneruskan tugasan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Selain itu, sebagai ibu, sebagai isteri dan saya akui banyak sokongan, dukungan dan semangat yang diberi oleh Permaisuri terhadap saya. Alhamdulillah, saya bersyukur,” titah Seri Paduka, lantas mengundang senyuman manis Tunku Azizah yang berada di sisi Seri Paduka sepanjang sesi berkenaan.

Bagi Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah - wanita cekal yang pernah melalui enam kali episod keguguran dan 17 kali rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) - merupakan sosok seorang ibu, isteri dan Permaisuri yang cukup sempurna, malah banyak menasihati Seri Paduka dalam pelbagai perkara. 

“Beliau (Tunku Azizah) menasihati saya macam ini, macam itu, (tapi) saya yang buat keputusan, bukan beliau,” titah Seri Paduka berseloroh.

Walaupun kurang sihat ketika sesi wawancara berlangsung, Tunku Azizah atau sering dipanggil "Ji" oleh Al-Sultan Abdullah, yang kelihatan anggun mengenakan persalinan serba merah jambu, sekali sekala "menyampuk" ketika pelbagai soalan dilontar pengamal media. 

“Saya suri permai, bukan Permaisuri. Saya suri di rumah ini, saya jaga makan, saya tentukan semua. Tuanku jaga negara, saya jaga kediaman,” titah Tunku Azizah, 63, yang memiliki empat cahaya mata hasil rawatan IVF.

Sepanjang wawancara hampir dua jam itu, jelas terpancar rasa kecintaan Al-Sultan Abdullah yang mesra dipanggil "Alam" oleh Tunku Azizah, melalui bahasa dan gerak tubuhnya, tatapan mata Seri Paduka yang sesekali melirik ke arah Tunku Azizah, begitu jua sebaliknya.

 “Terima kasih atas khidmat Azizah kepada Raja sebagai Permaisuri,” titah Seri Paduka lantas menghadiahkan kucupan mesra di pipi Tunku Azizah, tanda menghargai suri yang bertakhta di hati Al-Sultan Abdullah selama ini.

Episod cinta yang bermula di padang polo, membawa ke jenjang pelamin pada 6 Mac 1986 menyaksikan pasangan diraja yang sering kelihatan romantis dan saling berpegangan tangan, selain selalu "tampil" dengan aksi dan telatah comel, kini bahagia dengan empat putera dan lima puteri.

Walaupun sibuk dengan tugas hal ehwal negara dan menyantuni rakyat jelata, adakalanya mengetepikan protokol, hubungan kekeluargaan yang erat antara Seri Paduka berdua dengan kesemua paduka anakanda, menjadi model keakraban dan keutuhan institusi keluarga.

Al-Sultan Abdullah bertitah dalam setiap program menyantuni rakyat, Seri Paduka akan berusaha membawa bersama paduka anakanda, sekali gus membolehkan mereka menyantuni dan mengenali rakyat dengan lebih dekat. 

Kini, "DNA" raja dan rakyat berpisah tiada turut diwarisi anakanda, yang juga Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Alhamdulillah, saya perlu katakan, saya tidak tahu orang lain, tetapi kami tidak perlu beritahu kepadanya (Tengku Hassanal) apa yang perlu dilakukan. Beliau tahu tugasnya. Sejak kecil saya dah kata 'kamu dilahirkan untuk berkhidmat, tugas kamu ialah berkhidmat kepada rakyat'," titah Tunku Azizah.

Esok 30 Jan, genaplah lima tahun pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, maka Alam dan Ji akan kembali bersemayam di Istana Abdulaziz, Kuantan.

Ketika ditanya perancangan sekembalinya ke Pahang, Seri Paduka bertitah banyak kerja yang perlu dilakukan baginda.

“Seperti saya kata tadi, saya baru 15 hari jadi Sultan Pahang. Jadi, rakyat Pahang ternanti-nanti saya. Banyak perlu dibaiki dan dimajukan, membantu rakyat miskin, ramai lagi rakyat miskin,” titah Al-Sultan Abdullah.

Mengakhiri wawancara itu, Seri Paduka berdua menzahirkan kesyukuran atas segala peluang menerajui negara selama lima tahun dan penghargaan kepada seluruh rakyat jelata serta memohon kemaafan terhadap segala kekurangan.

Menjunjung kasih. Dirgahayu Tuanku.

-- BERNAMA


* Ikuti wawancara 'Lambaian Mahkota' yang akan disiarkan pada 30 Januari, Selasa bermula jam 8.30 malam di saluran 501 dan di semua platform Astro AWANI.

*Siaran ulangan 'Lambaian Mahkota' akan disiarkan pada 1 Februari, Khamis bermula 6 pagi di saluran 501 dan di semua platform Astro AWANI.