Wajib bagi setiap rakyat di negara ini menumpahkan sepenuh taat setia kepada kepimpinan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi khutbah Jumaat yang bertajuk Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, menyifatkan ketaatan tersebut bagi memastikan segala agenda pentadbiran dan kemakmuran negara dapat dicapai.

"Kita juga pastinya menginginkan Negara ini berkembang pesat dalam keadaan seluruh rakyat hidup bahagia dan harmoni.

"Maka sepatutnya kita bersama-sama memelihara keamanan dan kesatuan yang telah terbina dan meninggalkan sebarang usaha negatif yang berhasrat merosakkan keharmonian ini," memetik teks khutbah Jumaat yang disampaikan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Ismail Muhammad sempena Solat Jumaat Khas Pertabalan.



Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Masjid Putra di Putrajaya. - Foto Astro AWANI

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Masjid Putra di sini untuk bersama-sama ribuan jemaah bagi menunaikan solat Jumaat.

Hadir sama adalah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusuf dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.


Memetik teks khutbah itu lagi, sebagai rakyat yang telah berikrar untuk memberikan kesetiaan kepada raja dan Negara, rakyat sepatutnya menyokong dan mempertahankan sistem kesultanan di Negara ini.

"Menjadi ketua bagi sebuah Negara merupakan suatu tugas yang sangat mencabar dan berat. Cabaran-cabaran itu wujud dalam pelbagai bentuk dan arah serta telah wujud sejak sekian lama dalam Sistem Kesultanan Melayu.

"Terdapat segelintir pihak yang sengaja melemparkan persepsi negatif terhadap institusi beraja. Terdapat juga individu yang semakin berani menghina para Sultan dan Raja di negara ini.

"Ada juga kalangan kumpulan yang sengaja mempertikaikan kuasa-kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong seperti mempertikaikan Perkara 153, iaitu tanggungjawab memelihara hak istimewa orang Melayu. Antara tuduhan liar mereka ialah peruntukan itu membeza-bezakan antara warganegara dan dianggap sebagai diskriminasi kepada kaum lain," memetik teks tersebut.