KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) disaran mewujudkan sebuah jawatankuasa penasihat syariah bagi membantu agensi itu membuat keputusan berhubung apa-apa isu khususnya yang menyentuh perbezaan antara prinsip hak asasi manusia dan agama.

Perkara itu antara yang diutarakan oleh Ahli Dewan Rakyat yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Laporan Tahunan SUHAKAM di Dewan Rakyat di sini hari ini.

"Sebagai sebuah negara yang mempunyai majoriti rakyat muslim serta agama Islam sebagai agama rasm, saya ingin mencadangkan agar jawatankuasa ini diwujudkan," kata Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) ketika membahas usul itu.

Datuk Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) pula berpandangan perundangan syariah di negeri-negeri perlu diseragam agar isu seperti kes murtad yang sering kali menjadi pendebatan berkaitan hak asasi individu dan agama dapat ditangani secara menyeluruh.

"... kita memerlukan satu garis panduan dan proses nasihat akidah yang wajar diteliti secara mendalam. Kita berpegang pada asas hak asasi manusia terletak pada apa yang menjadi kebenaran dalam hidup dan kebenaran ini terletak pada agama Islam," katanya.

Chow Yu Hui (PH-Raub) pula membangkitkan isu infrastruktur dan kualiti tempat tahanan seperti lokap polis serta imigresen yang wajar diberi perhatian kerana laporan SUHAKAM sebelum ini menyatakan antara punca kematian individu dalam tahanan adalah akibat faktor kesihatan seperti penyakit berjangkit dan kebersihan selain isu kesesakan penghuni.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan menyemak semula garis panduan hukuman dan meminda undang-undang sedia ada dengan memberi kuasa kepada SUHAKAM melakukan lawatan mengejut ke pusat tahanan sebagai langkah meningkatkan kualiti pengurusan orang dalam tahanan.

Chiew Choon Man (PH-Miri) menyentuh isu pendidikan kanak-kanak terutama di luar bandar Sarawak yang tidak dapat bersekolah kerana ketiadaan dokumen lengkap kewarganegaraan.

Beliau meminta kerajaan meneliti perkara itu kerana kanak-kanak terbabit akan kehilangan peluang menerima pendidikan jika masalah dokumen kewarganegaraan tidak diselesaikan.

Seramai 17 Ahli Parlimen sempat membahas usul itu sebelum mesyuarat ditangguh petang tadi manakala lima lagi akan menyambung perbahasan sebelum sesi penggulungan esok.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA