KUALA LUMPUR:Pakar etnografi, Benedict Sandin yang merupakan anak Sarawak pertama menjadi kurator Muzium Sarawak, diraikan dalam paparan laman utama Google.com.

Mendiang yang meninggal dunia pada 1982 diperingati dalam inisiatif ‘Google Doodle’ itu atas jasa beliau memelihara warisan budaya dan sejarah asli kaumnya.

“Berketurunan Iban… Sandin telah mendapat sanjungan para ahli akademik sebagai salah seorang pakar kaum Iban yang terunggul di dunia,” menurut Google Malaysia menerusi blog rasminya.

Benedict dilahirkan pada 18 Oktober 1918 di sebuah rumah panjang, Kerangan Pinai di lembangan Saribas, daerah Saratok, Sarawak.

“Beliau diperkenalkan kepada bahasa Iban yang penuh puitis menerusi bapanya, di mana Sandin bukan sahaja berjaya menguasainya tetapi juga telah meneruskan untuk membela bahasa ini.”

Benedict dinamakan sebagai Kurator Muzium Sarawak dan Ahli Etnologi Kerajaan pada 1966 yang terus dijawat oleh mendiang selama sedekad.

“Terima kasih kami ucapkan kepada Benedict Sandin kerana melindungi dan memelihara tradisi dan warisan asli untuk generasi yang akan datang!” ucap Google Malaysia menerusi blog itu.

Antara buku-buku tulisan beliau termasuk Sengalang Burong, Gawai Burong dan The Sea Dayaks of Borneo before white Rajah rule.

Sementara itu, antara pemimpin Sarawak yang turut menghargai usaha Google dalam memberi penghormatan kepada Benedict adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Seri Alexander Nanta Linggi.

Dalam ciapan di laman Twitter beliau hari ini, Alexander yang juga ahli Parlimen Kapit gembira atas usaha Google memperingati jasa Benedict yang berasal dari suku kaum Iban Sarawak.

“Saya sangat gembira melihat Google memperingati seorang rakyat dari suku kaum Iban hari ini.

"Seorang etnologi dan sejarawan Iban, mendiang Benedict Sandin juga pernah berkhidmat sebagai kurator muzium Sarawak dan berkhidmat sebagai ahli etnologi kerajaan.

"Beliau juga menyumbang kepada Pembrita, penerbitan berita Iban pertama.

"Beliau tidak lagi bersama kita hari ini, tetapi saya sangat gembira kerana Google telah mengingatkan dunia bahawa warisan dan legasinya masih kekal hidup," katanya.

Beliau berkata, Benedict menjadi peringatan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi hebat jika sanggup bekerja keras.

"Penemu nuan idup belam (Ilmu pengetahuanmu kekal selamanya). Terima kasih. Terima kasih ngagai @google laban udah ngunsi penemu Benedict Sandin. (terima kasih Google kerana telah berkongsi pengetahuan tentang Benedict Sandin)," ciapnya dalam bahasa Iban.