NILAI: Polis merekodkan keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan kes kematian seorang wanita warga emas yang dipercayai dibunuh di rumahnya di Taman Paroi Jaya minggu lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata polis juga sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai telah melarikan diri bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Polis masih lagi mengesan suspek. Beberapa keterangan sudah diambil termasuk daripada ahli keluarga dan jiran bagi membantu siasatan berkenaan kes ini. Petunjuk baharu masih dalam siasatan dan biar perkara ini selesai dahulu," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Pengusaha Stesen dan Pelancaran Mural dan Poster Keselamatan Petron Malaysia di Petron Nilai Impian di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Aidi Ismail.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas berusia 70-an ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada anggota badan di sebuah rumah di Jalan Kedidi 7, Taman Paroi Jaya.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof meminta seorang lelaki, Mohd Faizul Mohamad Ali Kamil, 45, beralamat di Kampung Berkat Chembong, Rembau, Negeri Sembilan tampil bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA