Ahli Parlimen Padang Serai tiba di mahkamah untuk pertuduhan rasuah

Azman yang mengenakan blazer kelabu itu dijangka akan dituduh mengikut Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009 iaitu bersubahat menerima rasuah. - Astro AWANI
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, dijangka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini atas satu pertuduhan rasuah berkaitan projek usaha sama penternakan lembu milik Kerajaan Negeri Kedah.
Ringkasan AI
- Datuk Azman Nasrudin, Ahli Parlimen Padang Serai, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini atas pertuduhan rasuah berkaitan projek penternakan lembu Kerajaan Negeri Kedah.
- Azman dijangka dituduh menerima rasuah mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009, sementara seorang ahli perniagaan turut akan didakwa atas kes yang sama, melibatkan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah.
- Penahanan Azman dan ahli perniagaan itu berkaitan dengan siasatan SPRM berkenaan dakwaan penerimaan wang kira-kira RM400,000 bagi membantu mendapatkan hak penggunaan tanah bagi projek fidlot di Kedah Agro.
Sabtu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa seorang ahli perniagaan turut akan didakwa dalam kes sama mengikut Seksyen 16(a)(A) akta sama, melibatkan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah.
Azman sebelum ini ditahan SPRM pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan, sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Ahli perniagaan terbabit pula ditahan pada Mac dan turut dibebaskan dengan jaminan.
Mengulas penahanannya, Azman mempersoalkan tindakan SPRM menukar status beliau daripada saksi kepada tertuduh, dan menyifatkan langkah itu bermotifkan politik.
Menurut Azman, beliau pertama kali dipanggil ke pejabat SPRM Kedah pada 25 Mac lalu sebagai saksi dalam siasatan berkaitan projek penternakan lembu di bawah syarikat milik kerajaan negeri, Kedah Agro.
Pada Khamis lalu, beliau dihubungi oleh seorang pegawai penyiasat dan diarahkan bertemu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh arah utara, sebelum dibawa ke ibu pejabat SPRM di Kuala Lumpur.
Siasatan yang bermula sejak Februari itu berkait dakwaan penerimaan wang berjumlah kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah bagi projek fidlot.
Kertas siasatan dibuka susulan aduan yang diterima pada 10 Februari, dan setakat ini, seramai 15 saksi telah dirakam percakapan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


