Seorang Ahli Parlimen pada Isnin menyuarakan keluhan rakyat yang mengalami gangguan bekalan elektrik di Sabah, khususnya di kawasan Kimanis yang disifatkan 'terlalu dahsyat'.

Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) berkata rakyat di negeri itu termasuk kawasan Parlimen beliau menghadapi gangguan elektrik hampir setiap hari yang bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian malah mengakibatkan kerosakan harta benda.

"Di Sabah kita mempunyai Independent Power Plant (IPP) di Kimanis dibina dan menampung, sebenarnya kami mempunyai bekalan yang cukup di Sabah.

"Tetapi kenapa gangguan (bekalan elektrik) itu kerap berlaku di Sabah, di Kimanis hampir setiap hari berlaku blackout (putus bekalan elektrik) dan sebagainya. Bukan setakat tidak boleh buat kerja, lebih teruk lagi berlaku kerosakan peralatan elektrik di rumah rakyat kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Ujarnya, apabila aduan mengenai kerosakan dikemukakan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), orang ramai diminta membuat laporan polis sebelum sebarang bayaran dibuat dan perkara ini memakan masa sehingga berbulan-bulan.

"Kasihan rakyat kita, tuan pengerusi. Televisyen rosak, peti ais rosak tetapi tidak dapat diambil tindakan dengan yang secepatnya," katanya.

Mohamad turut memohon agar penaiktarafan sistem elektrik di Sabah dilakukan kerana kabel-kabel dan transformer yang digunakan di negeri itu buat masa ini dikatakan sudah usang.

"Transformer itu tidak boleh lagi menampung (buat masa ini), sebuah transformer yang dibina puluhan atau belasan tahun yang lalu, barangkali (dahulu) untuk sebuah kampung ia boleh menampung dan menyediakan kuasa untuk 20, 50 buah rumah.

"Masa sudah berubah, beratus-ratus rumah yang baharu dibina tetapi transformer masih itu juga (digunakan yang lama). Saya minta kepada SESB tolong naik taraf transformer yang dibina cukup lama dan pendawaian kabel-kabel dari tiang ke tiang," katanya.

Menjawab perkara yang disuarakan Mohamad, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan kementerian mengguna pakai Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) bagi 2021 untuk mengukur tempoh gangguan bekalan elektrik yang dialami pengguna dalam tempoh setahun.

Mengenai penaiktarafan kabel dan transformer di Sabah, beliau berkata projek itu akan diselaraskan oleh SESB sama ada melalui peruntukan dalaman atau di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Rang undang-undang itu diluluskan setelah dibahas dan digulung di peringkat dasar dan jawatankuasa hari ini.

Rang undang-undang itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi penguntukan semula daripada Kumpulan Wang Disatukan sejumlah wang yang tidak melebihi RM7,184,083,200.

Ini berikutan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan beberapa kementerian baharu dan pembubaran satu kementerian selaras dengan pembentukan Kabinet baharu pada 10 Mac 2020.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung hari ini.

-- BERNAMA