KOTA BHARU: Seorang ahli perniagaan berusia lingkungan 50-an ditahan pada Rabu selepas dipercayai menyamar sebagai individu berpangkat Datuk.

Wanita berkenaan mempamerkan lambang dan lencana Ahli Majlis Dato'-Dato' Negeri Kelantan pada dua buah kereta mewah dipercayai miliknya.

Ahli perniagaan berkenan ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan di sebuah kediaman di Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira jam 12.20 tengah malam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis menerima laporan pada 26 Jun lalu memaklumkan lambang berkenaan dipasang pada kereta Mercedes Benz bertujuan mempamerkan kenderaan berkenaan merupakan ahli majlis terbabit.

"Susulan itu, polis melakukan serbuan dan mendapati sebuah kereta di bawah garaj rumah berkenaan.

"Siasatan awal juga suspek mengaku membeli lencana itu tiga tahun lalu pada harga RM5,000 setiap satu.

"Bagaimanapun, wanita itu memaklumkan lencana terbabit tiada kaitan dengan mana-mana pertubuhan," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, wanita itu ditahan reman di IPD Kota Bharu selama tiga hari bermula Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan / 5B Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salah Guna) kerana menggunakan gelaran anugerah yang tidak diiktiraf.

Tambah beliau, polis memandang serius kesalahan penggunaan gelaran serta logo atau lambang yang tidak diiktiraf pada kenderaan persendirian.

"Polis akan memantau dan mengambil tindakan terhadap kenderaan yang menggunakan lencana lambang tanpa kelulusan atau kebenaran.

"Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan tidak menampal 'sticker' yang berlebihan di cermin kenderaan yang boleh menghalang penglihatan pihak berkuasa terhadap pemandu semasa pemeriksaan," katanya. -Sinar Harian