Skip to main content

Teknologi

Festival Idea Putrajaya: SPHQ-MyQiz, UPSI bangunkan sistem menilai kualiti hafazan Al-Quran

Ketua penyelidik, Profesor Madya Dr. Mohamad Marzuqi Abdul Rahim, berkata idea pembangunan SPHQ-MyQiz bermula daripada penyelidikan di UPSI sejak 2021, apabila pihaknya mendapati kaedah penilaian hafazan yang diamalkan institusi tahfiz di negara ini masih berbeza-beza.
Ketua penyelidik, Profesor Madya Dr. Mohamad Marzuqi Abdul Rahim, berkata idea pembangunan SPHQ-MyQiz bermula daripada penyelidikan di UPSI sejak 2021, apabila pihaknya mendapati kaedah penilaian hafazan yang diamalkan institusi tahfiz di negara ini masih berbeza-beza.
Advertisement

TANJONG MALIM: Di sebalik setiap ayat al-Quran yang dihafaz, tersimpan usaha, disiplin dan istiqamah seorang pelajar dalam memelihara kalam Allah SWT. Namun, bagaimana pula memastikan setiap perjalanan hafazan itu dinilai dengan tepat, adil dan konsisten?

Menyedari kepentingan aspek berkenaan, sekumpulan penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tampil menghasilkan Sistem Penilaian Hafazan al-Quran (SPHQ-MyQiz), inovasi yang menggabungkan tradisi pendidikan tahfiz dengan pendekatan pentaksiran lebih tersusun berasaskan teknologi digital.

Sistem itu bukan sekadar menyediakan kaedah pemberian markah, sebaliknya menjadi kerangka penilaian menyeluruh bagi membantu guru mengenal pasti tahap penguasaan hafazan, perkembangan murajaah serta pembentukan sikap pelajar secara lebih sistematik.

Ketua penyelidik, Profesor Madya Dr. Mohamad Marzuqi Abdul Rahim, berkata idea pembangunan SPHQ-MyQiz bermula daripada penyelidikan di UPSI sejak 2021, apabila pihaknya mendapati kaedah penilaian hafazan yang diamalkan institusi tahfiz di negara ini masih berbeza-beza.

Image
INOVASI UPSI_UPSI



Menurut Pensyarah Kanan I-Furqan UPSI itu, kepelbagaian pendekatan di sekolah tahfiz bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kerajaan negeri, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan institusi swasta mendorong keperluan mewujudkan satu standard penilaian yang boleh diguna pakai secara lebih meluas.

“Antara cabaran utama ialah penggunaan rekod manual yang menyukarkan guru mengurus dan menyelaraskan perkembangan hafazan pelajar. Maklumat yang dicatat setiap hari juga mengambil masa untuk dirumuskan menjadi laporan prestasi mingguan, bulanan mahupun tahunan.

"Keadaan itu bukan sahaja membebankan urusan pentadbiran guru, malah menyukarkan pemantauan perkembangan pelajar secara menyeluruh. Justeru, SPHQ-MyQiz dibangunkan bagi membawa proses pentaksiran ke arah yang lebih pantas, mudah diakses dan berasaskan maklumat yang boleh dianalisis," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Beliau berkata, menerusi sistem berkenaan, penilaian dibahagikan kepada tiga komponen utama, iaitu hafazan baharu atau tasmi’, murajaah serta sikap pelajar. 

Image
INOVASI UPSI_UPSI


Katanya, setiap komponen dilengkapi rubrik tersendiri bagi memastikan proses penilaian tidak hanya tertumpu kepada keupayaan mengingati ayat, tetapi turut mengambil kira aspek pembelajaran dan pembentukan peribadi.

"Bagi hafazan baharu dan murajaah, enam dimensi dinilai merangkumi kesediaan, kelancaran, ingatan, kefasihan, tajwid dan suara. Sementara itu, aspek sikap pula mengambil kira kesediaan, tanggungjawab, ketekalan, motivasi serta komitmen ibadah pelajar.

"Setiap penilaian menggunakan skala pencapaian daripada amat lemah hingga cemerlang atau mumtaz, dengan skor antara satu hingga 10. Pendekatan itu membolehkan guru mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pelajar, sekali gus merancang kaedah bimbingan yang lebih bersesuaian dengan keperluan individu.

“Melalui SPHQ-MyQiz, guru dapat menilai prestasi hafazan dengan lebih mudah dan tepat. Laporan yang dihasilkan juga membantu mereka merancang perkembangan hafazan, murajaah dan sikap pelajar secara harian, mingguan serta bulanan,” ujarnya.

Pembangunan inovasi itu turut menggabungkan kepakaran penyelidik dalam bidang pengajian Islam, pendidikan tahfiz dan teknologi maklumat, selain kerjasama penyelidik daripada Bahagian Pendidikan Islam, KPM. 

Advertisement
Image
INOVASI UPSI_UPSI



Hasil penyelidikan menerusi geran translasional UPSI itu kini sudah diuji secara rintis bersama guru dan institusi tahfiz, termasuk di Perak dan Selangor, selain didaftarkan hak cipta serta sebagai produk komersial di Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UPSI.

Bagi Marzuqi, SPHQ-MyQiz membawa harapan lebih besar daripada sekadar pendigitalan rekod penilaian, sebaliknya menjadi usaha memperkukuh mutu pendidikan tahfiz tanpa mengetepikan tradisi dan ketelitian ilmu yang diwarisi sejak sekian lama.

“Harapan kami adalah untuk melihat SPHQ-MyQiz menjadi panduan standard dalam menjaga kualiti hafazan al-Quran di Malaysia. Ia bukan sekadar alat memberikan gred, tetapi mekanisme untuk membantu guru, pentadbir dan pembuat dasar melihat serta menambah baik kualiti hafazan pelajar secara berterusan,” katanya.

Image
INOVASI UPSI_UPSI


Inilah salah satu daripada ribuan inovasi daripada UPSI bersesuaian dengan aspirasi Festival Idea Putrajaya 2026 yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 November ini, di Putrajaya sekaligus membudayakan inovasi dalam kalangan masyarakat, industri dan negara.

Advertisement

 

Must Watch Video

Advertisement