KUALA LUMPUR: Kegagalan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai menteri kanan sebelum ini disifatkan mendorong kepada kemerosotan jumlah penonton ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh parti Bersama dengan saban hari ia semakin berkurangan.
Setiausaha Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Sharizan Ramli berkata, pada masa sama, skandal Nik Nazmi Nik Ahmad yang dikaitkan dengan isu khalwat baru-baru ini juga turut menyumbang kepada ketiadaan minat oleh pengundi Melaka untuk menghadiri ceramah-ceramah parti tersebut walaupun menampilkan sejumlah 15 calon.
“Berdasarkan pemerhatian kami di lapangan dan di media sosial, jumlah penonton ceramah parti Kancil itu semakin berkurangan saban hari kerana rakyat mampu menilai prestasi Rafizi Ramli sebelum ini yang kerap mendapat label menteri gagal.
“Mungkin juga rakyat sudah muak dengan semua pendedahan beliau yang hanya berteraskan cakap mulut dan tidak disertakan dengan bukti, menjadikan kata-kata beliau semakin tidak dipercayai dan diburukkan lagi dengan skandal Nik Nazmi,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan ceramah Trak Kancil Bersama di Dataran Keris, Alor Gajah berlangsung dalam suasana hambar apabila kurang 50 peserta hadir mengikuti program kempen yang bermula pukul 8 malam itu.
Lebih mencuri perhatian, pemimpin Bersama, Rafizi hanya tiba kira-kira pukul 11.10 malam, iaitu lebih tiga jam selepas ceramah berkenaan dijadualkan bermula.
Mengulas lanjut, Sharizan berkata, rakyat juga berkemungkinan telah muak dengan cerita-cerita yang dijaja Rafizi sedangkan isu yang dibangkitkan oleh beliau boleh diselesaikan semasa beliau menjadi menteri.
“Rakyat hilang kepercayaan dari kata-kata Rafizi. Pendek kata buka mulut, bohong belaka.
“Untuk PRN Melaka, Saya pasti kesemua calon Bersama akan hilang wang deposit,” jelasnya.