GEORGE TOWN: Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen George Town hari ini atas lapan pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat membabitkan nilai hampir RM1.9 juta bagi menyelesaikan kes cukai rokok pada 2019.

Tertuduh, Chan Eng Leong, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Hakim Mohd. Khalid Abd. Karim dan Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Eng Leong didakwa menipu pengarah syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn. Bhd., Goh Kim Heong dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai dia boleh menyelesaikan kes cukai rokok dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Eksais DiRaja.

Bagi kesalahan itu dia didakwa dengan curangnya telah mendorong Kim Heong memindahkan saham syarikat tersebut kepada syarikat Natural Transforms Sdn. Bhd. miliknya.

Bagi kesemua pertuduhan berkenaan, ia membabitkan sebanyak 1,810,020 unit saham bernilai RM1,895,020.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 24 April hingga 15 Ogos 2019 di Nombor 29, Green Hall, George Town, Pulau Pinang.

Eng Leong didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri, Mohammad Nazri Abdul Rahim, Teh Li Siew dan Chew Qi Wei, manakalan tertuduh diwakili peguam R.S.N. Rayer.

Kedua-dua hakim membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM230,000 bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 27 September untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.