JOHOR BAHRU:Seorang  ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini atas dakwaan memberi sogokan kepada pegawai kanan polis berpangkat ASP pada Rabu lalu.

Pengakuan dibuat di hadapan hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut kertas tertuduh Samsudin Kambali, 47, melakukan perkara itu di sebuah pusat hiburan Angles Club di Todays Mall Ulu Tiram, Jalan Kota Tinggi kira-kira pukul 12.35 tengah malam.

Tertuduh secara rasuah memberi satu suapan bernilai RM45,000 kepada seorang pegawai kanan polis sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas dirinya dan 65 orang yang ditahan di pusat hiburan daripada dikenakan tindakan saringan air kencing.

Dan juga tindakan terhadap kesalahan di bawah Peraturan 10 iaitu Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Jika disabit kesalahan Samsudin boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Hakim menetapkan tertuduh membayar ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, selain menyerahkan pasport dan melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap 2 hari bulan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SRPM, Suhaili Sapun.

Tertuduh diwakili peguam Mohammad Muzamil Mohamad Hariri.

Sebutan semula kes pula ditetapkan 20 Januari depan.