Seorang ahli perniagaan kerugian RM490,000 selepas diperdayakan seorang lelaki bergelar 'Datuk' dalam urusan jual beli tanah untuk projek penternakan udang, sejak lima tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 50 tahun mendakwa suspek memberitahu boleh membantunya mendapatkan tanah di Sungai Buah Beras di Rompin bagi tujuan tersebut.

"Suspek telah mengajak mangsa menandatangani surat akuan pada 20 Okt 2013 dan menunjukkan surat permohonan tanah kerajaan bagi projek penternakan udang itu.

"Mangsa diminta membayar RM300,000 yang akan dipulangkan jika permohonannya gagal, namun sekitar 2014 dan 2015, mangsa dimaklumkan tanah itu telah diberikan kepada orang lain," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek kemudiannya menjanjikan tanah di Mukim Penor di sini, kepada mangsa sebagai ganti dan memintanya memasukkan wang tambahan RM190,000 ke dalam akaun anak lelaki suspek.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa suspek tidak dapat dihubungi walaupun telah mencuba berkali-kali untuk bertanyakan status permohonannya, menyebabkan dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata seorang suri rumah kerugian RM8,000 yang kononnya sebagai bayaran untuk mendapatkan hadiah berbentuk wang tunai daripada rakan lelaki yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook.

Katanya mangsa yang berusia 54 tahun itu mendakwa berkenalan dengan suspek pada awal bulan ini dan menerima salinan resit yang dikatakan sebagai bukti penghantaran pada 17 Ogos lepas.

"Tiga hari kemudian, mangsa menerima panggilan yang didakwa daripada wakil syarikat penghantaran meminta bayaran RM2,000 sebagai caj perkhidmatan.

"Mangsa kemudiannya diminta menjelaskan RM6,000 kononnya bayaran denda kerana penghantaran wang tunai boleh dikatakan sebagai wang seludup yang dijelaskannya pada Jumaat lepas," katanya.

Beliau berkata berasa diri ditipu selepas tidak menerima hadiah tersebut mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam.

-- BERNAMA