Ahli politik perlu berjiwa besar dan bertindak melangkaui politik kepartian dalam usaha untuk memajukan sesebuah negeri atau negara, kata penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohd Abu Bakar.

Dr Mohd berkata, jika semua ahli politik boleh berjiwa besar, rakyat tidak akan terbeban dengan berbagai masalah akibat politik kepartian yang murahan.

"Jika ahli politik berfikir dan bertindak sebagai negarawan atau berjiwa besar, kita dapat bangunkan negara.

"Bukan hanya Barisan Nasional yang perlu berjiwa besar, tetapi pembangkang juga perlu berjiwa besar untuk bersama membangunkan negara," katanya ketiak menjadi tetamu Analisis AWANI.

Dengan mengambil contoh krisis politik Terengganu baru-baru ini, Dr Mohd berkata, jika semua ahli politik berjiwa besar, cabaran yang akan dihadapi oleh parti yang memerintah tidak akan besar.

"Kalau PAS Terengganu berjiwa besar, pemimpin mereka bersikap seperti negarawan dan bersama membangunkan negeri dengan Barisan Nasional ia akan menguntungkan semua pihak.

"Kalau PAS turut bersama bangunkan negeri, pembangunan itu juga dapat mereka gunakan jika satu masa pemerintahan kerajaan negeri berpindah tangan.

"Begitu jugalah yang perlu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional, perlu ada sikap negarawan, perlu berjiwa besar untuk negara dan rakyat," katanya.

Mengulas mengenai dinamika politik Terengganu, Dr Mohd berkata cabaran besar dihadapi menteri besar baharu kerana kerajaan pusat tidak dominan seperti sebelum ini.

"Kalau kita bandingkan ketika zaman, Tan Sri Wan Mokhtar dahulu, beliau disokong oleh kerajaan pusat yang dominan, maksudnya kerajaan pusat boleh membantu memperkasakan kerajaan negeri.

"Cabaran menteri besar baharu ialah, beliau perlu memperkasakan dirinya sendiri kerana kerajaan pusat sekarang tiadk lagi dominan," katanya lagi.

Dr Mohd berkata, Datuk Ahmad razif Abdul Rahman berdepan cabaran untuk memperkasakan dirinya dan kerajaan pimpinannya supaya ia dilihat lebih dinamik.