KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Maslan tidak akan melupakan jasa Datuk Seri Najib Razak yang pernah melantik beliau sebagai Timbalan Menteri.

Setiausaha Agung UMNO itu berharap Bekas Perdana Menteri keenam dan keluarganya tabah susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak memihak kepadanya.

"Beliau anak Perdana Menteri (Tun Abdul Razak), namun telah melantik saya anak penoreh getah sebagai Timbalan Menteri sebelum ini dan tidak akan saya lupa.

"Kes ini akan terus diulas, rakyat juga sedang menghakimi. Diharap beliau (Najib) dan keluarga terus tabah," katanya dalam ciapan di Twitter, pada Rabu.

Kes SRC | Najib jalani hukuman hari ini

Ikuti perkembangan kes Najib Razak di sini



Ahmad turut mengepilkan dua gambar Najib sebelum melakukan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru di depan jemaah masjid berkenaan menjelang prosiding rayuan akhir kes bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Persekutuan pada Ahad lepas.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan ke atas Najib berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, Mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.