MUAR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi bayangan bahawa penubuhan Kerajaan Perpaduan yang mungkin berlaku di Melaka, tidak semestinya akan berlaku di negeri lain termasuk Johor.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan ini adalah kerana situasi politik yang berlaku di Melaka, tidak ada kena mengena dengan situasi politik di negeri lain.

"Jadi suasana politik di negeri lain mungkin berbeza dengan apa yang berlaku di negeri Melaka. Saya harap tiada sebarang spekulasi yang wujud, sebab yang penting ialah kestabilan politik bukan sahaja di peringkat nasional, tetapi kita yakin kestabilan juga perlu diwujudkan untuk pentadbiran di setiap negeri," kata beliau kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Kampung Sungai Gersik, di sini, hari ini.

BACA: Rakyat Melaka harap KM baharu fokus pulihkan ekonomi, tamatkan drama politik

BACA: "Keputusan lepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka hanya kerana desakan hati" - Sulaiman

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata apa yang penting ialah, rakyat mengharapkan kestabilan politik dapat diterjemahkan menerusi limpahan pelaburan daripada luar negara, sekali gus peluang ekonomi atas kepercayaan para pelabur, sama ada domestik ataupun daripada luar negara.

"Kestabilan juga akan membawa keyakinan kepada rakyat akan kepimpinan negeri itu sendiri dan saya yakin apa yang diharapkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ialah kestabilan politik," kata Ahmad Zahid.

Sejak semalam, politik di Melaka menjadi tumpuan ramai, apabila Datuk Seri Sulaiman Md Ali meletak jawatan sebagai Ketua Menteri ke-12.

Ketika ini, Melaka ditadbir sepenuhnya oleh kerajaan BN. BN Melaka mempunyai 21 kerusi daripada 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan dengan lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO hari ini berkata UMNO mencadangkan nama Pengerusi UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13.

Situasi di Melaka dibimbangi akan memberi kesan kepada kerajaan Johor, sekali gus membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran negeri ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lepas, Barisan Nasional (BN) memenangi lebih dua pertiga kerusi dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, diikuti Pakatan Harapan dengan 13 kerusi dan Perikatan Nasional tiga kerusi.

Ketika ditanya apakah perubahan politik yang dijangkakan di Melaka, dengan adanya kepimpinan Ketua Menteri Melaka serta barisan kepimpinan exco kerajaan negeri yang baharu, Presiden UMNO itu yakin semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional akan berjaya diterjemahkan di peringkat negeri, sekali gus pada enam pilihan raya negeri akan datang.

"Kita mesti membiarkan optik dan naratif yang baik, bagi menyebar luaskan situasi pembentukan kerajaan perpaduan ini di peringkat negeri. Saya juga dimaklumkan di peringkat negeri Johor ia dilaksana menerusi kaedah negeri Johor sendiri, yang mana kerajaan negeri telah memberikan peruntukan yang bersesuaian kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

"Dan ini tentunya memberikan optik yang baik buat kerajaan negeri Johor dan ia tentu akan dapat memberikan keseimbangan antara kerajaan negeri yang diwakili ADUN Barisan Nasional dan ADUN dari parti gabungan yang lain, termasuk yang tidak bersama dengan kerajaan persekutuan," kata beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang juga bekas Menteri Besar Johor.

-- BERNAMA