PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap jawatankuasa sosial bagi meneliti masalah berkaitan kanak-kanak yang akan dipengerusikannya diberi kuasa sebagai badan penyelia berkaitan pendidikan, hak dan jenayah terhadap kanak-kanak.

Ahmad Zahid yang diminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempengerusikan jawatankuasa sosial itu berkata, beliau akan memperhalusi penubuhan jawatakuasa itu secepat mungkin kerana ia turut melibatkan isu-isu terkait dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Saya melihat pelantikan ini sebagai satu tanggungjawab dan amanah yang besar memandangkan isu penderaan kanak-kanak belum dapat dituntaskan.

"Malah, terdapat beberapa isu lain berkaitan kanak-kanak masih lagi berlegar dan belum mendapat pembelaan yang sewajarnya. Kanak-kanak memerlukan perlindungan dan perhatian kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, permasalahan anak-anak yang berbapakan warga asing atau beribukan warga asing akan turut ditangani oleh jawatankuasa itu dengan pelaksanaan dalam kadar segera oleh Kementerian Dalam Negeri.

"Ini juga merupakan satu lagi usaha di bawah Kerajaan Perpaduan yang prihatin untuk memberi pelindungan kepada kanak-kanak yang tidak sah taraf," katanya.

Kerajaan hari ini memutuskan pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak untuk menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Ia adalah cabang khas yang mempunyai autonomi di bawah Suhakam bagi meneliti dan mendepani masalah berkaitan penderaan dan masalah sosial melibatkan kanak-kanak.

Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang sebelum ini mencadangkan agar satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menjaga hak dan kesejahteraan kanak-kanak, yang akhirnya bakal diwujudkan melalui penggubalan satu akta yang baharu. - BERNAMA