MALAYSIA
Ahmad Zahid kesal tindakan remeh lawatan kerja ke New Zealand

Ahmad Zahid mengadakan sidang media sempena hari terakhir lawatan kerja rasmi beliau ke New Zealand di Wellington, 18 Julai 2025. --fotoBERNAMA
WELLINGTON: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kekesalan terhadap tindakan segelintir pihak yang meremehkan lawatan kerja beliau ke New Zealand.
Ringkasan AI
- Zahid Hamidi kesal dengan kritikan terhadap lawatan kerja ke New Zealand, menegaskan tujuan lawatan adalah untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman, dan memperkukuh hubungan dua hala demi manfaat negara.
- Beliau menyeru supaya pandangan tidak membina, termasuk dari tokoh agama, tidak dijadikan halangan, sebaliknya menekankan keikhlasan, keterbukaan, dan semangat belajar daripada negara lain.
- Lawatan lima hari itu berjaya membuka peluang kerjasama strategik MalaysiaNew Zealand dalam bidang pendidikan, industri halal, pertanian, pengurusan bencana dan komuniti Orang Asli, serta memperkukuh perdagangan dua hala yang bernilai RM10.72 bilion pada 2024.
"Politik ialah makanan untuk orang politik sama ada menteri atau timbalan perdana menteri atau perdana menteri yang keluar negara, kesinisan itu jangan dilayan.
"Apa yang penting dalam lawatan kerja, lawatan rasmi adalah penimbaan kepada ilmu, pengalaman dan bidang-bidang baharu yang tidak ada di negara kita supaya kita boleh terokai," katanya pada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerja lima hari ke New Zealand di sini pada Sabtu (Jumaat di Malaysia).
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki dan Setiausaha Bahagian Kemboja-Laos-Myanmar-Vietnam dan Oceania Kementerian Luar Negeri, John K. Samuel.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, keikhlasan dan keterbukaan dalam menerima pandangan serta semangat untuk belajar dari negara lain seharusnya menjadi keutamaan, bukannya terperangkap dalam kitaran kritikan yang tidak membina.
"Kalau yang baik, tanyalah kawan. Kalau yang tak baik, tanyalah musuh. Musuh, ini orang yang tak suka dengan kita. Apa pun yang kita buat tetap tidak baik ... jangan angkuh, jangan sombong, jangan ujub," katanya.
Beliau turut menegaskan tidak wajar apabila kesinisan itu datang daripada mereka yang berlatar belakang agama, namun menyuarakan pandangan secara tidak berhemah sehingga menjejaskan semangat kerjasama dan pembangunan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan, lawatan kerja lima hari beliau ke New Zealand itu telah membuka lembaran baharu dalam pengukuhan kerjasama strategik antara Malaysia dan negara Oceania itu, merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan, industri halal, pengurusan bencana serta pemerkasaan komuniti Orang Asli menerusi lawatan terhadap komuniti Maori, pertanian serta perdagangan.
Sepanjang lawatan kerja lima hari itu, Ahmad Zahid telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri New Zealand, David Seymour; Menteri Pembangunan Maori, Tama Potaka; Menteri Pertanian dan Perdagangan, Todd McClay serta Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Dr Shane Reti.
Lawatan kerja itu sebahagian usaha Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan rakan strategik di rantau Asia Pasifik.
Pada 2024, nilai dagangan Malaysia-New Zealand mencecah RM10.72 bilion, menjadikan Malaysia rakan dagang kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN bagi New Zealand.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami