KUALA LUMPUR: Semua jabatan dan agensi berkaitan akan diselaras di bawah satu Jawatankuasa Kabinet, bagi memperkasa aspek pensijilan dan industri halal negara ke peringkat lebih kompetitif, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata jawatankuasa itu akan diterajui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dipertanggungjawab menyelaras sinergi antara semua pihak terbabit, bagi memanfaatkan sepenuhnya ekosistem halal negara, sekali gus mencipta peluang lebih besar dalam pasaran halal global.
"Pensijilan halal, memang kita dapat markah yang tinggi tapi saya mahu ia terus diangkat bukan sahaja dijadikan contoh oleh negara lain, termasuk dari aspek kecekapan dari segi penyelidikan bermutu serta keupayaan memberi kelulusan dengan sangat cepat dan pantas.
"Malah pemimpin dunia yang saya temui seperti China, Jepun, Korea Selatan, Vietnam dan Kemboja juga, bercakap mengenai industri halal dengan mereka memberi tumpuan kepada Malaysia...rugi besar kalau kita tidak bagi tumpuan khusus," katanya ketika berucap merasmikan Global Halal Summit (GHaS) 2023 di sini hari ini.
Turut hadir Ahmad Zahid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Atas faktor itu selain pasaran global industri halal dunia yang dijangka mencapai jumlah AS$2.4 trilion pada 2024, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau meminta Ahmad Zahid dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi tumpuan khusus kepada memperkasa aspek pensijilan dan promosi perdagangan, bagi membolehkan Malaysia menerajui pasaran industri halal dunia yang amat kompetitif.
Perdana Menteri berkata sinergi antara pensijilan halal dengan promosi perdagangan amat penting dan ia menuntut semua pemain industri halal tempatan, jabatan dan agensi berkaitan mengetepikan amalan bekerja secara silo.
Anwar berkata soal halal bukan hanya berkait dengan makanan dan minuman, tetapi juga barangan lain seperti produk farmaseutikal, kosmetik, barang gunaan, perkhidmatan logistik, peranti perubatan dan pengilangan kontrak, di mana penilaian 'halal lagi bersih' yang diberikan boleh menarik minat negara bukan Islam.
"Jadi ini semua harus diselaraskan dengan HDC (Halal Development Corporation Bhd) dan MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia), kerana ada pengkhususan dan sinergi dengan industri tempatan.
"Jika tidak, kita hanya akan perkenal dan luluskan pensijilan halal, tetapi tidak mengembangkan industri halal negara kita," katanya.
Dalam hal itu, Perdana Menteri mahu setiap langkah diambil JAKIM dalam pensijilan halal, mesti seiring dengan perkembangan industri tempatan dan dunia, supaya kemampanan dalam industri halal membuka akses lebih luas kepada Malaysia di pasaran global.
Anwar juga mahu ruang yang sama diberikan kepada perindustrian mikro kecil dan sederhana (PMKS) dalam industri halal, agar mereka juga mampu bersaing ke peringkat antarabangsa selain syarikat besar yang sedia terkenal dan memiliki keupayaan.
"Ada satu penekanan baharu, iaitu memberikan ruang kepada PMKS bertapak dengan bantuan sewajarnya. Kalau ini bukan urusan JAKIM, mungkin juga urusan MATRADE atau MARA, dan sebab itu saya katakan, penyelarasan itu penting," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Sep 12 2023
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu Majlis Perasmian Global Halal Summit (GHaS) 2023 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
RM40 juta diluluskan di peringkat jawatankuasa MITRA, belum dibelanja - Prabakaran
Sebanyak RM40 juta daripada RM100 juta yang disalurkan kerajaan tahun ini kepada MITRA telah diluluskan di peringkat jawatankuasa.
Pengguna Facebook, Instagram luang 60% masa menonton video
Menurut Meta, kini pengguna meluangkan 60% daripada masa penggunaan di platform berkenaan dengan menonton video.
Rumah kebajikan warga emas dipukul tidak berdaftar - Nancy
Rumah kebajikan dihuni warga emas yang dipukul dengan kayu di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kedah didapati tidak berdaftar dengan JKM.
Pasangan beregu badminton Soon Huat-Shevon kongsi gambar praperkahwinan
Pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, hari ini berkongsi gambar praperkahwinan mereka, yang dijangka akan dilangsungkan tidak lama lagi.
Kementerian Perpaduan lancar Inisiatif Harmoni Madani
Kementerian Perpaduan Negara hari ini melancarkan Inisiatif Harmoni Madani.
Kes 1MDB: Najib percaya Blackstone dikawal Arab Saudi, Raja Abdullah - Saksi
Saksi memberitahu Najib percaya bahawa syarikat Blackstone Asia Real Estate Partners dikawal oleh kerajaan Arab Saudi dan Raja Arab Saudi.
Apple dalam perbincangan guna teknologi OpenAI dalam iOS 18 - Laporan
iOS 18 akan membawakan perubahan paling besar untuk sistem operasi iPhone tahun ini dan integrasi sistem AI akan akhirnya didedahkan.
PRK Kuala Kubu Baharu: BN pamer komitmen tinggi pastikan kemenangan calon - Loke
BN menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan kemenangan calon PH, pada PRK Kuala Kubu Baharu.
Empat maut, dua pacuan empat roda bertembung
Empat individu maut dalam kemalangan melibatkan dua pacuan empat roda di Kilometer 78, Jalan Kota Bharu-Gua Musang tengah malam tadi.
Uqasha Senrose selamat bersalin, beri nama anak Uqaira
Pelakon Uqasha Senrose mengumumkan telah selamat melahirkan puteri sulungnya pada awal pagi Sabtu.
Kerajaan tubuh Jawatankuasa Kabinet tangani gangguan bekalan gula
Jawatankuasa Kabinet mengenai hala tuju bekalan gula telah ditubuhkan bagi menangani kekurangan bekalan dan memastikan kestabilan harga barangan tersebut.
Tempoh 6 bulan sediakan kaedah pembayaran royalti minyak - Azmin
Jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan untuk menyediakan kertas cadangan berkenaan kaedah pembayaran royalti minyak diberi tempoh enam bulan untuk menyiapkan kertas cadangan itu.