KUALA LUMPUR: Malaysia mengetengahkan model rawatan kesihatan mental berasaskan komuniti menerusi program Mentari Malaysia (Mentari) sebagai contoh pendekatan negara memperkukuh sistem kesihatan yang lebih inklusif, mudah diakses dan berorientasikan pemulihan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17 di sini hari ini.
Pegawai Perubatan Mentari Hospital Selayang Dr Mohamad Hafiz Zulkifli berkata program yang diperkenalkan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) itu bertujuan mengalihkan fokus rawatan daripada penempatan berasaskan hospital kepada pencegahan dan pemulihan berasaskan komuniti.
Beliau berkata pendekatan Mentari bukan sahaja menyediakan akses rawatan yang lebih mudah kepada orang ramai serta memberi tumpuan kepada rawatan penyakit mental pada peringkat awal, malah merangkumi rehabilitasi berasaskan pekerjaan bagi membantu pesakit kembali berdikari dan berfungsi dalam komuniti.
“Sebelum ini pesakit sering ditempatkan di institusi dalam tempoh yang lama. Kini, kita mahu mereka tinggal bersama-sama keluarga dan menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Bila kita beri ubat sahaja, ia mungkin tidak mencukupi untuk membantu pesakit kembali pulih. Jadi, kita terapkan aspek pemulihan lain supaya mereka boleh kembali ke pangkuan masyarakat,” katanya ketika ditemui di reruai Mentari bersempena dengan AHMM ke-17 di sini.
Beliau berkata program yang menyasarkan golongan berusia 18 hingga 60 tahun itu setakat ini mempunyai 40 pusat yang beroperasi di seluruh negara dan jumlah itu dijangka terus diperluas pada masa hadapan.
Mohamad Hafiz berkata Malaysia turut memanfaatkan teknologi digital bagi memperkukuh saringan dan intervensi awal apabila orang ramai boleh menjalani saringan awal kesihatan mental secara dalam talian, sekali gus membantu mengenal pasti individu berisiko sebelum keadaan menjadi lebih serius.
“Bagaimanapun, saringan itu bukan diagnosis. Individu yang dikenal pasti berisiko akan dirujuk kepada pegawai kesihatan atau pakar berkaitan untuk penilaian dan rawatan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu turut membantu menangani stigma terhadap penyakit mental kerana pesakit boleh mendapatkan rawatan berhampiran kediaman masing-masing, di samping mengekalkan sokongan keluarga sebagai pemangkin pemulihan.
Keberkesanan model Mentari mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta dipilih sebagai antara tiga projek berkesan dan berpotensi tinggi di rantau Pasifik Barat, selain didokumentasikan sebagai kajian kes untuk rujukan di peringkat global.
Mohamad Hafiz berharap perkongsian pengalaman Malaysia pada AHMM ke-17 dapat memberi inspirasi kepada negara anggota ASEAN untuk mentransformasikan perkhidmatan kesihatan mental serta menilai dan menyesuaikan pendekatan berasaskan komuniti mengikut keperluan sistem kesihatan masing-masing, selain bertukar pandangan dan pengalaman.
AHMM ke-17 yang berlangsung di sini dari 7 hingga 11 Sept diterajui Malaysia selaku pengerusi dan Myammar sebagai Naib Pengerusi dengan mengangkat tema “Healthy ASEAN: Together Towards Equitable, Future-Ready Health Systems”.
-- BERNAMA