KUALA LUMPUR: Kecerdasan buatan (AI) bukan milik eksklusif golongan pakar teknologi maklumat dan golongan berpendapatan tinggi semata-mata.

Profesor Kulliyyah Teknologi Maklumat Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Mohamad Fauzan Noordin berkata, golongan B40 juga perlu mendapat akses penuh kepada manfaat daripada teknologi-teknologi AI.

“Kecerdasan buatan (AI) ini bukan eksklusif dan dimiliki seseorang; pakar teknologi maklumat atau golongan T20, semata-mata. Sedangkan B40 juga ada hak untuk memiliki teknologi AI ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.


AI bukan milik eksklusif pakar IT, T20 - Penganalisis

Oleh itu, Mohamad Fauzan berpandangan langkah melancarkan inisiatif AI untuk Rakyat sebagai lanjutan kepada Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) adalah langkah yang tepat.

“Saya lihat apabila kita lancarkan sistem PADU, kemudian kita lancarkan AI untuk rakyat. Ini kerana, melalui PADU kita tahu siapa perlu dibantu dari segi peranti dan AI untuk rakyat,” jelasnya.

Tambahnya lagi, bagi memastikan manfaat AI ini benar-benar dapat dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia, maka kerajaan perlu menyediakan infostruktur, infrastruktur, dan modal insan yang mencukupi.


Agenda AWANI: Adaptasi AI, apa untungnya kepada rakyat?