KUALA LUMPUR: Kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan utama dalam keseluruhan sistem keselamatan sempadan menerusi penyepaduan sistem pengawasan dan pemantauan merentasi sempadan darat, maritim dan udara.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata, AI amat penting berikutan sifat operasi kawalan sempadan yang berbeza bagi ketiga-tiga domain itu, yang perlu diurus secara terselaras dan bersepadu.
“Terdapat pelbagai jenis sistem radar, pelbagai bentuk imejan satelit serta pelbagai sistem pengawasan di lapangan.
“Oleh itu, AI amat penting dalam menyatukan semua elemen ini dan membolehkannya berfungsi secara berkesan sebagai satu sistem tunggal,” katanya dalam temu bual bersama TV BRICS di luar Forum Keselamatan Antarabangsa di Moscow.
Raja Nushirwan berkata, peranan AI melangkaui pintu masuk sempadan dan turut melibatkan pemantauan aktiviti di dalam negara selepas sempadan dilintasi.
“Pengurusan sempadan perlu dilihat sebagai satu kesinambungan. Ia tidak terhenti di sempadan semata-mata. Itulah sebabnya AI memainkan peranan penting dalam keseluruhan sistem keselamatan sempadan,” katanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapan bertulis kepada soalan parlimen pada Mac berkata, Pelan Induk Kawalan Keselamatan Sempadan Negara 2026-2030 yang diluncurkan pada 8 Jan lepas berfungsi sebagai rangka kerja dasar strategik yang komprehensif dalam menangani cabaran keselamatan sempadan secara lebih holistik dan sistematik. Ia memfokuskan kepada usaha memperkukuh mekanisme kawalan sedia ada dan mempertingkat pendekatan penguatkuasaan.
Menteri berkenaan berkata, di bawah pelan induk itu, satu Sistem Kawalan Sempadan Negara akan dibangunkan dengan dilengkapi teknologi pengawasan dan analisis data berasaskan AI terkini bagi membolehkan operasi dijalankan secara autonomi, memudahkan penyebaran maklumat masa nyata dengan pantas, serta menyediakan pemantauan berterusan 24 jam.
Sementara itu, Raja Nushirwan berkata, kerajaan kini sedang membangunkan Rang Undang-Undang Jenayah Siber yang komprehensif bagi menangani ancaman siber yang semakin berkembang serta bentuk baharu jenayah digital.
“Pada masa ini, jenayah siber berlaku dalam pelbagai bentuk dan kami sedang dalam proses memperkenalkan akta baharu bagi menangani cabaran ini,” katanya.
Beliau berkata, rang undang-undang itu yang akan melengkapi perundangan sedia ada termasuk Akta Keselamatan Siber dijangka dibentangkan untuk kelulusan Parlimen pada persidangan akan datang.
“Terdapat dua aspek utama dalam usaha ini. Pertama ialah akta itu sendiri, manakala kedua melibatkan usaha menangani persekitaran dan keadaan lebih luas yang membolehkan jenayah sedemikian berlaku sejak awal lagi,” katanya.
-- BERNAMA