Sebulan sahaja lagi umat Islam di seluruh negara akan menyambut Hari Raya Aidiladha.

Tidak sama seperti kelaziman, aktiviti wajib seperti penyembelihan dan pengagihan daging korban yang dilakukan secara berjemaah akan berubah bagi sambutan pada tahun ini susulan penularan wabak COVID-19.

Menurut Pengerusi Masjid Darul Ibadah Kampung Kudei Lama, Kuching, Ismail Idris, jumlah individu yang terlibat termasuk peserta dan penerima akan dihadkan bagi memastikan keselamatan umat Islam sentiasa terjaga.

“Tahun ini kita terpaksa mengikut peraturan-peraturan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) atau syarat yang telah dikeluarkan oleh kerajaan dengan Jabatan Agama Islam.

“Jadi mengenai, ibadah korban di Kuching pada tahun ini, kami akan lakukan persediaan awal dari segi faktor keselamatan,” katanya.

Umat Islam yang ditemui juga menyatakan persetujuan ke atas syarat yang melibatkan keselamatan dan kesihatan orang ramai.

Kata penjawat awam, Semawi Said, penjarakan sosial memainkan peranan penting bagi mengekang COVID-19.

“Pada pendapat saya, SOP (prosedur operasi standard) yang dikenakan memang membantu. Orang ramai tidak boleh berkerumun,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Ahli Jawatankuasa Masjid Darul Ibadah Kampung Kudei Lama, Muhammad Maraji, selain perihal kapasiti masjid pada sambutan itu nanti, pihak mereka juga akan meneliti segala urusan melibatkan pembekal daging.

Ini termasuk menyemak Sijil Kesihatan Veterinar mereka.

“Bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, kita kena memohon permit dengan Jabatan Veterinar termasuk pihak pembekal,” jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Tambah Maraji, pihak masjid memutuskan untuk membenarkan kapasiti 10 orang sahaja bagi melaksanakan aktivit korban tersebut.

Antara syarat lain yang diambil kira beritahunya adalah kewajipan untuk mendaftar dengan pejabat agama Islam bahagian.

Selain itu, tapak penyembelihan juga pula perlu mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa tempatan.