KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) meluluskan sebanyak 256 bas tambahan sebagai inisiatif menampung permintaan tiket balik kampung sempena Aidilfitri tahun ini.

Dalam masa sama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan, bagi mengatasi masalah kesesakan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), inisiatif tiket tanpa kertas menggunakan kod QR turut diperkenalkan.

“Antara inisiatif untuk kurangkan kesesakan di terminal adalah konsep tanpa kertas guna kod QR bagi pembelian dalam talian.

“Penumpang hanya perlu mencetak dan boleh terus ke balai pelepasan selepas mengimbas kod QR di Auto Counter Gate (AGC),” katanya di sidang media selepas lawatan kerja Menteri Pengangkutan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sempena perayaan Aidilfitri.

Tambah beliau, beberapa penyedia Sistem Tiket Online (OTA) utama iaitu GoHub, BusOnlineTicket, dan RedBus berjaya melaksanakan integrasi sistem dengan TBS.

“Penumpang yang membeli tiket akan menerima notifikasi kod QR bersama logo GoPass.

"Mereka (penumpang) boleh terus ke balai pelepasan untuk naik bas,” katanya.

Sementara itu, Anthony berharap pelaksanaan integrasi ini dapat memberi kelebihan dan kemudahan kepada rakyat selaras dengan agenda pendigitalan sektor pengangkutan.

Trend pembelian tiket bas ekspres rakyat Malaysia secara dalam talian dilihat berubah dengan menyaksikan sekitar 401,000 (65 peratus) merupakan pembelian melalui dalam talian berbanding 216,000 (35 peratus) tiket yang dibeli di terminal daripada jumlah keseluruhan 618,000 dalam sebulan.