KOTA BHARU: Sebanyak 53,370 tiket bas untuk perjalanan ke Kelantan dari Kuala Lumpur habis terjual dalam tempoh dua jam, kata Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad Che Ibrahim Che Ismail.

Beliau berkata tiket yang terjual itu melibatkan 1,186 perjalanan bagi tempoh 4 hingga 9 April ini dan tiket berkenaan untuk tempoh dua minggu iaitu seminggu sebelum dan seminggu selepas Aidilfitri.

"Setiap hari sebanyak 88 perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu akan bergerak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan zakat kepada 300 asnaf di sini, hari ini.

Che Ibrahim berkata kesemua pengusaha bas ekspres di negeri Pantai Timur bersetuju untuk menaikkan harga tambang bas kelas eksekutif kepada RM75 berbanding harga subsidi RM44.

Beliau berkata kenaikan kos pembelian bas serta alat ganti yang terlalu tinggi menyebabkan pengusaha terpaksa menarik balik subsidi yang diberikan kepada penumpang selama ini.

"Bas ekspres Musafir akan dinaikkan kepada RM44 berbanding harga sekarang iaitu RM35. Ini sebenar bukannya kenaikan kerana pengusaha di negeri Pantai Barat sudah lama mengenakan harga itu.

"Cuma kemungkinan atas dasar kemanusiaan pengusaha di sini masih belum menaikkan tambang. Kenaikan tambang itu belum dimuktamadkan dan mungkin diputuskan sama ada dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi," katanya.

-- BERNAMA