ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra bersama penjawat awam Negeri Kedah sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Balai Santapan Besar, Istana Anak Bukit, pada Selasa
Majlis berkenaan merupakan cerminan keprihatinan serta hubungan erat di antara institusi diraja dan penjawat awam dalam suasana penuh kemesraan sempena sambutan perayaan.
Berangkat sama pada majlis berkenaan, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin; Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.
Advertisement
Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Kerajaan Kedah Datuk Seri Norizan Khazali serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.
Sultan Kedah serta keluarga Diraja berangkat hadir ke majlis tersebut sebelum berkenan berangkat ke Balai Santapan Besar bagi santapan utama bersama para penjawat awam yang hadir.
Antara juadah yang dihidangkan pada majlis berkenaan ialah nasi minyak, soto ayam, ketupat, lemang, rendang daging, ayam kuzi, sate serta kuih raya.
Seusai santapan, Sultan Sallehuddin serta keluarga diraja baginda turut berkenan beramah mesra bersama para hadirin.
Baginda seterusnya mengurniakan ampun kurnia duit raya kepada penjawat awam yang hadir sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan Baginda.