Air kumbahan telah dirawat suci untuk digunakan - Mufti

Sinar Harian
Februari 19, 2024 01:15 MYT
WAN SALIM: Air yang terhasil selepas dirawat walaupun telah berlaku percampuran sisa air basuhan dan sisa buangan khinzir sebelumnya, ia dihukum suci dan bersih. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pernah mengeluarkan keputusan fatwa tentang air kumbahan yang telah dirawat dan dinyah elemen najis serta kotoran adalah suci jika melebihi dua kolah.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, keputusan yang dibuat pada 7 November 2008 itu bagi membincangkan mengenai pengurusan air sisa buangan dari pusat penyembelihan ternakan Sungai Pinang.
“Air yang melebihi dua kolah, apabila terkena najis maka cara menyucikannya adalah dengan menambah air yang ada dengan air mutlak atau membuang najis atau membiarkannya dalam satu tempoh yang lama sehingga hilang bau.
“Kaedah rawatan menggunakan bakteria yang diguna pakai merupakan satu kaedah semula jadi bagi menghilangkan najis dan kesan najis tersebut seperti bau, rasa dan warna.
“Air yang terhasil selepas dirawat walaupun telah berlaku percampuran sisa air basuhan dan sisa buangan khinzir sebelumnya, air ini adalah dihukum suci dan bersih,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pencemaran sungai akibat pelepasan sisa babi di Bukit Mertajam. - Sinar Harian
#Wan Salim Wan Mohd Noor #air kumbahan #Najis #pelepasan sisa babi