BUKIT MERTAJAM: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPV) mengarahkan sebuah ladang ternakan babi di perkampungan Sungai Lembu, di Bukit Mertajam ditutup selepas ia didakwa menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah, Kedah.

Pengerusi Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol ketika dihubungi berkata arahan dibuat selepas pihaknya mendapati ladang berkenaan gagal dalam memperolehi lesen secara sah sebelum ini.

Jelas Fahmi, pihak JPV juga akan mengeluarkan kompaun terhadap pihak ladang berkenaan esok dan Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) juga akan turun membuat pemantauan di lokasi yang dilaporkan.

"Jabatan Veterinar Pulau Pinang sudah keluarkan arahan kosongkan ladang dan meminta ia dipindahkan ke ladang sembelihan. Namun sehingga kini, ia tidak berlaku malah penternak juga didapati tidak mahu mengikut arahan yang ditetapkan.

"Jumlah babi di ladang itu terlalu banyak dan ia perlu dilaksanakan secara berperingkat. Bagaimanapun pihak JPV negeri akan terus mengambil tindakan mengikut enakmen sedia ada," katanya ketika diminta mengulas mengenai pelepasan sisa ternakan babi yang dibongkar Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah di sini hari ini.

Setakat ini, lima lokasi telah diambil sampel oleh pihak JAS Pulau Pinang. - Foto JAS Kedah

Sementara itu, Pengarah JAS Pulau Pinang, Norazizi Adinan berkata, pihaknya juga telah turun di lapangan sejak Sabtu dan siasatan diteruskan hingga hari ini.

Setakat ini, lima lokasi telah diambil sampel oleh pihak JAS Pulau Pinang dan sekiranya  aduan tersebut berasas, tindakan susulan termasuk tindakan perundangan akan dikenakan terhadap pemilik kandang babi berkenaan.

"Semua pihak yang mempunyai kuasa perundangan akan diminta untuk mengambil tindakan mengikut kuasa masing-masing.

"JAS mempunyai kuasa terhad terhadap ladang ternakan kerana tiada kuasa khusus untuk pencemaran dari ladang ternakan," katanya ketika dihubungi.

Pemeriksaan lapangan yang dilakukan pegawai penyiasat meliputi kawasan hulu sungai berjaya mengesan aliran air hitam dari Sungai Air Merah mengalir masuk ke Sungai Kulim. - Foto JAS Kedah

Media pada Ahad melaporkan, JAS Kedah mengesan berlakunya kegiatan melepaskan sisa ternakan babi disyaki dari ladang perkampungan Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang yang menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan pencemaran itu Jumaat lalu, sebelum pegawai penyiasat JAS Cawangan Kulim digerakkan bagi mengesan punca kejadian.

Katanya, pemeriksaan lapangan yang dilakukan pegawai penyiasat meliputi kawasan hulu sungai berjaya mengesan aliran air hitam dari Sungai Air Merah mengalir masuk ke Sungai Kulim.

Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan penternakan babi mendapati terdapat beberapa kolam yang melepaskan efluen ke Sungai Air Merah yang kemudiannya memasuki Sungai Kulim.

Hasil siasatan telah dimaklumkan kepada JAS Pulau Pinang untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa Pulau Pinang seperti Jabatan Veterinar Pulau Pinang dan Badan Kawal Selia Air Pulau Pinang.