MALAYSIA
Air laut masuk tasik punca kematian ribuan ikan di Taman Gelora - MBK

Kemasukan air laut telah meningkatkan tahap kemasinan air, sekali gus mengubah keseimbangan ekosistem semula jadi tasik yang bersifat payau. -Foto: mbk.gov.my/portal/berita_arkib/taman-gelora
KUANTAN: Kematian ikan di Taman Gelora di sini dipercayai berpunca daripada fenomena air pasang besar yang menyebabkan kemasukan air laut ke dalam tasik melalui empangan kecil berhampiran kawasan rekreasi berkenaan.
Datuk Bandar Kuantan Datuk Zaliza Zulkipli berkata siasatan awal itu turut mendapati kemasukan air laut telah meningkatkan tahap kemasinan air, sekali gus mengubah keseimbangan ekosistem semula jadi tasik yang bersifat payau.
"Fenomena ini merupakan kejadian alam semula jadi yang tidak dapat dijangka. Perubahan mendadak ini dipercayai menjadi faktor utama kepada kematian beberapa spesies ikan liar yang hidup dan membiak secara semula jadi di tasik berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara spesies yang terkesan termasuk ikan susu, tilapia, kapas dan siakap merah.Zaliza berkata sebagai tindakan segera, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah melaksanakan kerja-kerja pengutipan dan pembersihan ikan yang mati di sekitar tasik bagi memastikan kawasan rekreasi kekal bersih dan selamat.
Beliau berkata dalam masa yang sama, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan ujian kualiti air dan Jabatan Perikanan turut mengambil sampel ikan untuk analisis forensik bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian secara saintifik.
"MBK akan terus memantau situasi ini dengan kerjasama rapat agensi berkaitan dan komited dalam memastikan keseimbangan ekosistem serta kebersihan Tasik Taman Gelora sentiasa terpelihara untuk keselesaan dan keselamatan pengunjung," katanya.
Media semalam melaporkan pengunjung Taman Gelora di sini berdepan bau yang tidak menyenangkan, berikutan kematian ribuan ekor ikan di dua tasik buatan itu sejak Isnin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami