SHAH ALAM: Tiada yang lebih menyedihkan bagi keluarga Wan Nur Adlina Alisa Wan Zainal apabila terpaksa menyambut Aidilfitri dalam keadaan hiba apabila menerima jenazahnya, sebelum mengebumikannya di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam, hari ini.

Jenazah Allahyarhamah yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di New Zealand tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) sekitar jam 9.30 pagi tadi dengan diiringi oleh ahli keluarga terdekat.

Suasana pilu kemudian menyelubungi Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong apabila jenazah disembahyangkan dengan diimamkan oleh bapanya, Wan Zainal Adileen.

Dalam cuaca hujan, jenazah kemudian dikebumikan dengan lancar pada jam 2.30 petang.

Sebelum ini, media melaporkan Wan Nur Adlina Alisa maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di State Highway 8 berhampiran Lake Pukaki, New Zealand.

Dalam kejadian itu, selain Wan Nur Adlina Alisa, seorang lagi pelajar daripada universiti sama turut maut iaitu Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni.

Jenazah Allahyarham Megat Ashman Aqif, tidak dibawa pulang ke Malaysia dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bromley, Christchurch pada Rabu minggu lepas.

Tiga pelajar yang cedera pula adalah dua penuntut University of Canterbury, Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Walton, selain seorang lagi pelajar lelaki daripada Victoria University Wellington, Muhamad Faris Mohd Fairusham.

Sementara itu, Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand, hari ini, berkata semua urusan kebajikan mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya itu telah selesai dan berjalan lancar.

"Hanya seorang pelajar masih menerima rawatan susulan di Hospital ChristChurch, New Zealand, manakala dua orang mangsa yang tercedera telah dibenarkan keluar dari hospital.

"Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk Kerajaan New Zealand, Hospital Timaru, Hospital ChristChurch, University of Canterbury, komuniti Malaysia di ChristChurch, serta semua pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung," katanya dalam kenyataan media.