KUALA KEDAH: Sekitar 20,000 penduduk di kawasan Kuala Kedah berhadapan situasi sukar sejak lebih lima tahun lalu apabila gangguan bekalan air memberi kesan kepada aktiviti seharian mereka.

Antara lokasi terbabit adalah di Taman Desarina, Taman Desarina Indah, Taman Sri Putra, Taman Desa Wawasan, Taman Nusantara, Taman Nautika, Taman Armada, Kg Tepi Laut, Kh Ulu, Kg Madrasah dan Kg Tengah.

Kebanyakan mereka terpaksa berebut bekalan air dari lori yang dihantar Syarikat Air Darul Aman (SADA) selain terpaksa membeli tangki dan pam air yang berharga ribuan ringgit.

Masalah air sejak 5 tahun lalu hingga ada yang mahu jual rumah

Bagi Fatimah Rejab, 65, penduduk Taman Desarina, bekalan air hanya diterima penduduk kawasan sekitar dalam tempoh sekitar 15 ke 30 minit sehari.

Pekerja swasta Mohd Sulaiman Ramli, 42, pula berkata ada penduduk yang terpaksa berhabis sekitar RM500 hingga RM2000 sebulan untuk mendapatkan bekalan air mineral bagi tujuan minum dan memasak selain mencuci pakaian di kedai dobi berhampiran.

Dia dalam pada itu menyatakan kebimbangan penduduk akan bertindak di luar kawalan sekiranya masalah ini berterusan dan tidak diselesaikan pihak berwajib dengan segera.

Dalam pada itu, situasi yang berlaku ketika ini juga telah menyebabkan ramai penduduk tidak lagi sanggup tinggal di kawasan berkenaan sehingga ada yang merancang menjual kediaman mereka walaupun pada harga rendah.

Sementara itu, ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris berharap agar kerajaan negeri dan pihak SADA mampu memikirkan kaedah yang terbaik termasuk mewujudkan pelan jangka pendek dan sederhana selain rancangan pengoperasian beberapa Loji Rawatan Air (LRA) di negeri itu yang dijangka siap pada tahun 2024.

Adakah nasib yang dihadapi penduduk terlibat akan berubah, ikuti laporan siri kedua Air Oh Air.