KOTA KINABALU: Sebelas buah rumah terjejas teruk di Tanjung Aru Baru akibat pukulan ombak ganas dalam kejadian air pasang luar biasa pada jam 5 petang di sekitar Pantai Barat Sabah semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Kalsom Idris, dua daripada 11 rumah yang terlibat turut roboh akibat dipukul ombak dalam kejadian tersebut.

Susulan itu, pihak polis katanya, telah mengarahkan kesemua penduduk yang terkesan agar mengosongkan kediaman dan berpindah ke tempat selamat.

"Hasil pemeriksaan mendapati, sebanyak 11 buah rumah yang terkesan. Dua daripadanya roboh dan dihanyutkan air manakala sembilan yang lain terjejas akibat dinaiki air dan dipukul ombak.

"Atas sebab-sebab keselamatan, kita mengarahkan penduduk untuk mengosongkan rumah mereka," ujar Kalsom ketika ditemui media sewaktu meninjau kawasan kejadian di Kampung Tanjung Aru Baru.

BACA: Cuaca buruk: Wanita maut dihempap pokok, air laut melimpah di Sabah 

Keadaan rumah yang roboh akibat dipukul ombak dalam kejadian tersebut. - Astro AWANI

Dalam kejadian itu, menurut Kalsom seramai 273 mangsa daripada 32 keluarga dipindahkan ke Dewan Terbuka Tanjung Aru sementara sebahagian lagi mangsa bertindak pulang ke rumah saudara-mara masing-masing yang berdekatan.

Dalam pada itu, dua lagi rumah, masing-masing di Sri Aman Kudat dan Kampung Salimpodon Pitas, turut menerima nasib sama akibat fenomena air pasang besar dan hujan lebat berterusan di sekitar Pantai Barat Sabah.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini selain Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengingatkan, kejadian hujan berterusan di negeri ini dijangka berlarutan sehingga 26 Dis.