Kuala Lumpur:Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) komited mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) dengan memperuntukan RM186 juta bagi Program Penggantian Paip Lama serta penukaran meter lama dan rosak.

Air Selangor dalam satu kenyataan berkata peruntukan itu merupakan sebahagian daripada peruntukan perbelanjaan 2021 bernilai RM293 juta.

“Untuk memastikan kami di landasan betul mengurangkan kadar NRW pada 2021 sebanyak 0.5 peratus, kami akan terus melaksanakan perancangan strategik dan rapi serta melaksanakan inisiatif dalaman yang dijalankan sejak 2017.

"Ia susulan kejayan kami menurunkan NRW sejak tiga tahun berturut-turut sejak 2018.

Air Selangor juga menggariskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang perlu dilaksanakan bagi menjayakan pengurangan NRW 2021.

"Pasukan Pakar Kebocoran dan Pasukan Pengesan Kebocoran Air Selangor akan mengesan sekurang-kurangnya 70,000 kes kebocoran paip di sepanjang jajaran rangkaian paip di bawah Program Kawalan Kebocoran Aktif.

"Membangunkan sejumlah 75 Zon Permeteran Daerah (DMZ) di bawah Program Pembangunan Zon Permeteran Wilayah.

"Mengantikan paip lama dan kritikal, terutama jenis simen asbestos sepanjang 150 kilometer di bawah Program Penggantian Paip Lama," kata Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman.

Selain itu Air Selangor akan turut memasang sistem pengesan di paip-paip utama melibatkan sejumlah 1,780 alat pengesan untuk mengesan tekanan sementara dan kebocoran pada peringkat awal.

Melalui kesemua langkah itu Air Selangor menyasarkan untuk mengurangkan kadar NRW kepada 25 peratus menjelang 2025 dan 15 peratus menjelang 2049.

Untuk rekod, Air Selangor berjaya mengurangkan NRW kepada 28.6 peratus pada 2020, melebihi sasaran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 29.2 peratus.